Gaya HidupIbu dan AnakKesihatan

Adakah Kesihatan Otak Kita Dipengaruhi Oleh Media Sosial?

Laporan teknikal National Health and Morbidity Survey 2019 telah mendapati keadaan kesihatan mental bagi remaja berusia di antara 13 hingga 17 tahun pada masa kini sangat membimbangkan dengan 6.8% daripada hasil penyelidikan telah mendapati mereka telah cuba untuk membunuh diri sekali atau lebih daripada sekali.

Manakala 10% daripada hasil kajian telah mendapati mereka telah berfikir untuk membunuh diri secara serius sejak 12 bulan kebelakangan. Perkara ini telah menimbulkan persoalan berapa banyak kes ini adalah berkait dengan penggunaan sosial media?

Insomnia dan Kekurangan Tidur

Sebuah kajian perkaitan di antara insomnia dan rangkaian laman media sosial pada anak muda Indonesia telah mendapati insomnia telah berkait rapat dengan penggunaan media sosial.

Dalam sebuah lagi kajian yang diterbitkan oleh Britain dalam Journal of Youth Studies, ia menyatakan bahawa satu daripada lima remaja telah mengakui bahawa mereka “hampir sentiasa” bangun di tengah malam untuk memeriksa akaun sosial media mereka.

Ramai remaja mengambil waktu harian mereka berjam-jam dalam media sosial sehingga menjejaskan tidur mereka dan tanpa sedar menyebabkan mereka mengalami keadaan mood terjejas, makan berlebihan, kebimbangan dan kemurungan.

Ini kerana remaja sebenarnya memerlukan lebih masa untuk tidur berbanding orang dewasa. Oleh itu apabila mereka melayari internet di tengah malam, ia tidak hanya akan mempengaruhi kesihatan mental mereka tetapi juga kesihatan fizikal.

Kebimbangan

Apabila remaja terlalu taksub dengan akaun media sosial mereka, mereka terasa tertekan untuk memuat naik gambar terbaik dan juga pos dengan tulisan yang sempurna sehingga menyebabkan mereka mula memiliki perasaan kebimbangan yang melampau.

Ditambah lagi dengan kes siberbuli dan komen negatif yang mungkin diterima oleh netizen.

Kemurungan

Dalam sebuah kajian yang dikeluarkan oleh Computers in Human Behaviour, mereka telah mendapati bahawa banyak laman media sosial telah mempengaruhi kemurungan dibandingkan mereka menggunakan internet untuk perkara lain.

Menurut kajian tersebut, orang yang memiliki tujuh platform media sosial akan memiliki tiga kali ganda risiko untuk mengalami kemurungan berbanding mereka yang hanya memiliki dua atau kurang daripada dua akaun.

Laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Snapchat banyak dipenuhi dengan netizen yang memberi komen negatif dan ramai pengguna terutama remaja memiliki rasa ingin memiliki kehidupan atau gaya hidup yang tidak mudah untuk dicapai oleh diri mereka sendiri.

Apabila ditambah dengan perihal seseorang yang memiliki rasa rendah diri serta rasa tiada keyakinan diri, media sosial akan menyebabkan tekanan perasaan itu rasa lebih mendalam.

Perkara sebegini akan lebih terkesan bagi remaja kerana otak mereka berkembang dengan banyak semasa umur tersebut dan ia adalah sangat penting untuk ibubapa memahami impak media sosial terhadap anak mereka.

Oleh itu sebagai ibubapa, adalah sangat disyorkan untuk memberi batasan supaya anak anda dibantu menangani masalah yang mungkin bakal dihadapi jika menggunakan sosial media melampaui batas.

Sebagai ibubapa, komunikasi dengan anak remaja adalah sangat penting. Cubalah bertanya supaya mereka boleh lebih terbuka tentang akaun sosial media mereka tetapi pada masa yang sama beri mereka ruang supaya mereka rasa selesa dengan anda dan bukan rasa rimas sehingga menyebabkan mereka menjauhkan diri.

Walau bagaimanapun, ibubapa juga harus memberikan contoh yang baik kepada anak mereka dengan bersama-sama tidak menyalahguna sosial media dan memiliki batas terhadap akaun sosial media masing-masing.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button