Isu SemasaTempatan

Peruncit Tempatan Sedia Sokong Larangan Penjualan Produk ‘Anti-Minyak Sawit’

Peruncit-peruncit tempatan berikrar untuk membuang produk-produk anti-minyak sawit dari kedai mereka sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan Malaysia dalam menentang ‘tindakan diskriminasi’ oleh negara-negara maju seperti blok Kesatuan Eropah (EU).

Kerajaan sebelum ini telah menimbulkan rancangan untuk mewujudkan sebuah undang-undang baru bagi melarang penjualan produk-produk yang mempunyai label “bebas minyak sawit” atau “tiada minyak sawit”.

Oleh itu, peruncit-peruncit tempatan, yang menzahirkan semangat patriotisme tinggi, menyatakan bahawa mereka bersedia untuk bertindak balas bagi menyokong produk pengeluaran tempatan.

“Kita sememangnya akan menyokong undang-undang itu. Ia adalah semula jadi kita memberi sokongan kepada produk-produk tempatan penting seperti minyak sawit.

“Ia digambarkan secara negatif di Eropah. Kita perlu menentangnya,” kata Presiden Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia, Datuk Seri Garry Chua.

Pasaraya terbesar Malaysia, Mydin Mohamed Holdings Bhd juga telah membuang produk-produk anti-minyak sawit daripada pasarayanya di seluruh negara.

Menurut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, syarikatnya telah mula membuang barang-barang yang mempunyai label anti-minyak sawit pada Rabu minggu lepas.

“Adalah amat penting apabila sesebuah negara membuat sesuatu keputusan (dan) ia disokong oleh rakyat. Tidak berbuat pula apa-apa adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Dengan melabel produk “tiada minyak sawit”, anda memberitahu pembeli bahawa minyak sawit tidak bagus,” katanya.

Tegas beliau lagi, adalah amat tidak bertanggungjawab jika perbuatan itu dilakukan oleh pembekal atau pengeluar.

Ameer Ali berkata, produk-produk anti-minyak sawit yang ada di kedainya diimport, namun tidak mendedahkan sebarang angka.

Mydin mempunyai hampir 80 cawangan di seluruh Malaysia dan juga masih memiliki kedai runcit premium Sam’s Groceria Sdn Bhd.

Sementara itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok, menyatakan bahawa beliau berharap agar peruncit-peruncit lain di dalam negara akan turut mengambil langkah tidak menjual barangan yang mempunyai label anti-minyak sawit.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Kok menjelaskan bahawa kertas cadangan untuk melarang penjualan produk dengan label tersebut sedang dirangka oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sebagai tindak balas terhadap cadangan EU yang mahu menghentikan penggunaan minyak sawit sebagai biofuel menjelang tahun 2030, Indonesia juga telah mengarahkan peruncit-peruncit tempatan untuk membuang semua produk yang mempunyai label “bebas minyak sawit” atau “tiada minyak sawit” daripada kedai mereka sejak bulan Ogos.

Indonesia konsisten dengan janjinya untuk bertindak balas terhadap sebarang dasar yang boleh menjejaskan eksport komoditinya yang terbesar itu.

Difahamkan, Malaysia dan Indonesia merupakan pengeluar utama minyak sawit di dunia, dengan membekalkan kira-kira 85% komoditi itu daripada permintaan global.

Negara-negara EU pula menjadi pembeli kedua terbesar minyak sawit daripada kedua-dua negara itu selepas India.

Eropah menggunakan 7.5 juta tan minyak sawit setiap tahun, kira-kira 10% sehingga 15% daripada permintaan global komoditi tersebut.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button