Isu SemasaTempatan

Malaysia Berdepan Krisis Pengangguran Belia

Kadar pengangguran belia di Malaysia kini berada pada kadar 10.9%, iaitu lebih daripada tiga kali ganda l berbanding 3.3% dan telah meningkat secara berperingkat sejak 10 tahun lalu..

Ini sekali gus meningkatkan lagi ketidakpuasan hati ramai anak muda yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun lepas.

PH dilaporkan berkempen secara hebat dalam memperjuangkan dasar-dasar mesra belia, termasuk ikrar untuk menangani masalah pengangguran dalam kalangan belia.

Namun selepas lebih daripada setahun gagal menunaikan kebanyakan janji-janji utama di dalam manifesto mereka, kekecewaan belia dilihat meningkat dengan drastik.

Difahamkan, anak muda yang menganggur membentuk hampir 60% daripada jumlah keseluruhan 504,000 individu yang tidak mempunyai pekerjaan.

Kaji selidik terbaru oleh Merdeka Center yang mengkaji ketidakpuasan hati pengundi mendapati bahawa 42% rakyat Malaysia (53% orang Melayu) dalam kumpulan usia 20 – 30 tahun tidak berpuas hati atau marah terhadap kerajaan pimpinan PH.

Pengangguran belia pula terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu:

1. Graduan belia – Kementerian Pendidikan melaporkan bahawa 57,000 daripada 173,000 graduan pada tahun lepas masih menganggur walaupun sudah mencari pekerjaan selama enam bulan.

2. Belia luar bandar – mereka yang tinggal bersama ibu bapa dan tidak bekerja

3. Belia bandar – anak muda bukan graduan yang mencari pekerjaan dalam runcit, pentadbiran, pengagihan, pengeluaran, hospitaliti, atau industri-industri perkhidmatan yang lain.

GRADUAN BELIA

Difahamkan, antara punca utama yang menyebabkan pengangguran dalam kalangan graduan belia adalah ketidakpadanan kelayakan akademik dengan keperluan tenaga kerja negara.

Daripada 1.47 juta pekerjaan, 86.9% adalah pekerjaan berkemahiran rendah. Hanya 4.7% sahaja yang memerlukan kelayakan akademik tertiari.

Pada penghujung tahun 2018, pengangguran graduan berada pada paras 9.6% atau 204,000 orang.

Kementerian Pendidikan menentukan apa kursus yang ditawarkan di universiti berbanding kuasa pasaran, sekali gus menyebabkan ketidakpadanan ini.

Universiti-unversiti di Malaysia pula sudah menjangkaui kapasiti dan melahirkan terlalu ramai graduan melebihi jumlah yang boleh diserap masuk ke dalam tenaga kerja tempatan.

BELIA PEDALAMAN

Pengangguran dalam kalangan belia  luar bandar telah lama menjadi satu masalah di kampung-kampung di Malaysia sejak sedekad lalu.

Berdasarkan anggaran, pengangguran belia luar bandar merekodkan jumlah sekitar 75,000 – 90,000 orang. Namun, anggaran ini tidak dikira secara statistik memandangkan ramai daripada belia di sana masih tinggal bersama keluarga mereka dan tidak berkata mereka sedang mencari kerja secara aktif.

Individu-individu dalam kumpulan ini juga kebanyakannya hanya mempunyai pendidikan sehingga sekolah menengah sahaja, dan ramai juga yang tidak habis bersekolah.

Difahamkan, ramai dalam kalangan mereka juga tidak mempunyai dorongan untuk pergi ke pekan dan memilih pekerjaan yang bergaji rendah.

Selain itu, ramai juga yang hanya boleh bercakap dalam Bahasa Melayu sahaja dan tidak berkemahiran.

Namun pada masa yang sama, banyak pekerjaan tidak berkemahiran pula diambil oleh pekerja asing sekali gus menjadikan pekerjaan-pekerjaan tersebut dilihat ‘kurang menarik’ secara sosial bagi belia tempatan.

Menurut pihak polis pula, pengambilan dadah menjadi satu gejala yang berleluasa di luar bandar. Anak muda selalunya akan bermula dengan menghisap rokok daun dari pokok ketum. Kemudian, ramai beralih kepada dadah-dadah lain yang perlu dibeli.

Perkara ini membawa kepada peningkatan kes jenayah secara drastik, termasuk pecah rumah, pencurian motosikal, dan mencuri di kedai.

Malah, terdapat juga sesetengah yang merompak daripada ibu bapa dan adik beradik sendiri semata-mata untuk menampung tabiat penggunaan dadah mereka.

BELIA BANDAR

Berdasarkan kaji selidik Job Street, 58% belia bandar terlalu memilih pekerjaan atau syarikat yang mereka kerja.

Sementara itu, 58% dilihat tidak mempunyai personaliti atau tingkah laku yang baik, 52% mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah, 49% tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, dan 66% mempunyai jangkaan gaji yang tidak realistik.

Toleransi dalam budaya Melayu juga semakin berkurangan bagi pekerjaan-pekerjaan dalam industri hotel, hospitaliti, dan pelancongan, sekali gus menjadi penghalang besar pada prospek pekerjaan.

Pada suatu ketika dahulu, ketiga-tiga sektor tersebut boleh diterima, namun ia kini dianggap sebagai pekerjaan kotor, rendah, dan berbahaya.

Penghidangan alkohol kepada pelanggan juga hampir menjadi tabu dalam budaya Melayu. Oleh itu, industri hotel, hospitaliti, dan pelancongan lebih cenderung memilih pekerja asing demi mengelak isu budaya dan agama.

Sumber: Malay Mail

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button