AntarabangsaIsu Semasa

Myanmar: Bagaimana Pemain Permainan Video Tangani Masalah Gangguan Elektrik?

Industri permainan video di Myanmar dilaporkan semakin berkembang, namun ia berdepan satu halangan besar, iaitu gangguan bekalan elektrik.

“Setiap kali berlaku pemadaman elektrik, kami akan memaki hamun syarikat elektrik – dan ia terjadi dengan kerap,” kata Myint, seorang bintang e-Sukan di negara itu.

Difahamkan, lebih daripada 60% penduduk di Myanmar masih lagi tidak mendapat akses kepada elektrik sehingga kini.

Disebabkan gangguan elektrik yang teruk, Myint Myat Zaw, pemain Dota 2 berusia 21 tahun yang turut dikenali sebagai “Insane” menyatakan bahawa beliau telah tewas dalam kira-kira 40 perlawanan, sekali gus menyukarkannya untuk menempah slot dalam kejohanan antarabangsa yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai puluhan juta dolar.

Ini juga menjadi masalah kepada mereka yang bermain permainan video di kafe-kafe siber.

Sementara itu, hadiah wang terkumpul bagi kejohanan terkemuka The International 2019 (TI9) Dota 2 mencecah AS$34.3 juta (RM144.21 juta), di mana ia merekodkan jumlah hadiah wang terkumpul yang terbanyak dalam sejarah e-Sukan.

Tetapi menurutnya, kejohanan Dota 2 jarang diadakan di Myanmar dan ini menyebabkan beliau sukar untuk menjana pendapatan menerusi permainan tersebut.

“Tiga tahun yang lalu merupakan tempoh paling sukar dalam kerjaya saya…Saya tinggal di sebuah kedai permainan video dan juga kekurangan makanan,” katanya kepada AFP.

Untuk menangani masalah ini, ramai pemain permainan video mengambil langkah alternatif untuk terus beraksi dengan beralih ke platform telefon pintar.

Lebih menarik lagi, kad SIM di pasaran juga dijual pada harga yang murah.

Justeru, ini membolehkan pemain-pemain untuk bermain permainan kegemaran mereka tanpa perlu risau sekiranya berlaku ketiadaan elektrik.

“Kita boleh bermain di mana-mana, pada bila-bila masa sahaja. Ia juga lebih murah (berbanding komputer). Kami hanya perlu membayar bil telefon yang tidak berkos terlalu banyak,” kata Myint Myat Aung, seorang pemain permainan popular PlayerUnknown’s Battelground (PUBG) bagi pasukan e-sukan Singapura Impunity.

Bulan lepas, Impunity, dengan lebih daripada 400 pasukan lain, telah mengambil bahagian dalam kejohanan PUBG yang dianjurkan oleh Samsung Galaxy di sebuah pusat membeli belah di Yangon.

Hadiah wang tunai terkumpul bagi kejohanan itu adalah sekitar AS$7,000 (RM29,431). Jumlah tersebut dianggap besar di negara dengan pendapatan kurang daripada AS1,300 (RM5,465) setahun itu.

Menurut pengurus Impunity di Myanmar, Brian Min Sett, jumlah hadiah wang yang semakin meningkat menandakan perkembangan kerana “negara kita tidak mempunyai banyak kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan.”

Dalam pada itu, Jeremy Jackson, penganalisis pasaran bagi firma penyelidikan e-Sukan NewZoo menyatakan bahawa Myanmar, seperti negara-negara membangun lain, berdepan ‘kekurangan yang serius’ berbanding negara-negara jirannya.

“Akses kepada elektrik stabil dan Internet adalah amat penting bagi permainan video kompetitif.

“Tidak dinafikan lagi, penembusan telefon pintar yang lebih tinggi akan membolehkan ramai orang mendapat akses kepada landskap permainan video kompetitif,” jelasnya.

Sumber: The Star – AFP Relaxnews

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button