Isu SemasaTempatan

Bolehkah Malaysia Mencari ‘Jalan Tengah’ Dalam Isu AS Dan China?

Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan hala tuju Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa hadapan, dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada bulan November ini.

Di tengah-tengah ketegangan di Laut China Selatan, pergolakan di Hong Kong, keinginan China untuk mendesak hegemoninya ke atas Taiwan, dan perang dagang yang berlangsung di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, menentukan peranan masa hadapan angkatan tentera dilihat menjadi satu tugas yang sukar.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong amat jelas dalam membentangkan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi pada dekad-dekad yang akan datang, dengan menggariskan kedudukan negara dalam “New World Order” (NWO) dan juga perikatan yang perlu diwujudkan demi mengekalkan leveraj.

“Ia tidak akan menjadi sesuatu yang mudah untuk membuat keputusan dalam perkara ini

“Pada tahun 1989, Tembok Berlin runtuh, dan kita mempunyai Perjanjian Damai Hat Yai, yang menandakan pengakhiran pemberontakan komunis di Malaysia.

“Jadi, kita mempunyai dua peristiwa besar yang merupakan titik perubahan, di dalam dan luar negara. Kita telah menikmati keamanan selama 30 tahun di Malaysia, dan senario global yang agak aman.

“Saya rasa sekarang, kita sedang memasuki era baru, di mana persaingan AS-China akan menjadi satu isu jangka masa panjang. Ia akan menjadi satu persaingan yang bukan sahaja tentang perdagangan,” katanya.

Tambah Liew, perkara ini mungkin akan mengeluarkan China daripada rangkaian pembekal material global, dan menyaksikan persaingan strategik di antara negara-negara yang mahu mengukuhkan dominasi serantau, dan penubuhan perikatan baru, sebagai contoh di antara Rusia, China dan Iran.

Pemerhati berkata bahawa inisiatif Belt and Road China merupakan langkah pertama dalam ‘serangan awal’ negara itu terhadap AS dan perintah dunia semasa.

Selain itu, pemerhati turut menyatakan bahawa AS boleh menyelesaikan konflik perdagangannya bersama China jika ia mahu, namun negara Uncle Sam itu kini terlibat dalam “persaingan geopolitik”, dengan kepentingan politik menjadi teras kepada apa yang dilihat sebagai perang dagang di antara kedua-dua gergasi ekonomi itu.

“Adakah New World Order ini akan menjadi Perang Dingin yang baru? Saya rasa tidak. Saya rasa ia akan menjadi lebih daripada itu.

“Ia mungkin tidak akan membawa kepada peperangan ‘panas’ atau tembak menembak, tetapi ia akan menjadi sesuatu di antaranya,” jelas Liew.

Pada masa ini, perikatan-perikatan sedia ada sedang berdepan keruntuhan, dan Turki merupakan antara contoh utama.

Turki yang merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), kini semakin cenderung ke arah Rusia.

Walaupun masih menjadi negara anggota NATO, penganalisis berkata bahawa perjanjian strategik selama 60 tahun di antara Washington dan Ankara sudah tamat.

Sejak cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016 di Turki, ketegangan di antara negara tersebut dan AS semakin meningkat.

Dalam persengketaan terbaru, Turki, yang merupakan penyumbang besar dalam program F-35 Lightning II Joint Strike Fighter, telah dibuang daripada rangkaian pembekal global Lockheed Martin apabila ia membeli sistem pertahanan peluru berpandu canggih buatan Rusia, S-400 tanpa ‘restu’ AS.

Akibat itu, syarikat-syarikat pertahanan Turki mengalami kerugian bernilai AS$12 bilion (RM50.2 bilion) dan turut merisikokan kira-kira 30,000 pekerjaan.

“Saya rasa apa yang kita sedang cuba lakukan, apa yang (Perdana Menteri Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sedang cuba lakukan, adalah untuk mencari jalan tengah…terutamanya dalam (isu berkenaan) AS dan China.

“Memilih pihak untuk disokong akan mempunyai akibatnya; tidak memilih antara keduanya juga akan mendatangkan akibat. Bolehkah kita mencari jalan ketiga?

“Apa yang cuba dilakukan oleh perdana menteri ialah untuk mencari ruang di mana ‘saya tidak sepenuhnya pro-AS, dan saya juga banyak menjalinkan kerjasama dengan China’.

“Mencari ruang itu tidak mudah… tetapi ia adalah sesuatu yang perlu kita lakukan,” ujar Liew.

Sementara itu, beliau juga berkata bahawa satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian adalah kedudukan Malaysia dalam konteks global.

“Adakah kita hanya melihat diri kita (Malaysia) sebagai negara kecil atau sebagai negara yang memiliki potensi untuk berkembang daripada keadaan sekarang?

ÔÇťAdakah kita melihat diri kita hanya sebagai Semenanjung, dan Sabah dan Sarawak sahaja – berfikiran sempit, melihat kepentingan dalaman sahaja – atau kita melihat diri kita sebagai negara maritim?,” soalnya.

Jelas Liew, kedudukan geografi Malaysia adalah unik bagi membentuk dan mempengaruhi dinamik di dalam rantau ini dan lebih daripada itu.

“Kita (Malaysia) mempunyai dua tanah besar (landmasses)…pada satu sisi, kita mempunyai Selat Melaka, salah satu selat paling penting di dunia.

“Di sisi lain, kita mempunyai Laut China Selatan, yang boleh dikatakan sebagai hartanah yang paling banyak menimbulkan pertikaian di dunia.

“Dan kita juga berada di penghujung benua Asia-Eropah. Apabila anda melihat diri anda dalam konteks itu, anda akan cepat menyedari bahawa anda berada di pusat tumpuan bagi pelbagai perkara.

“Bagaimana kita mahu memanfaatkan kelebihan geografi ini? Bagaimana kita membuat strategi?,” jelasnya sambil bertegas bahawa negara perlu membincangkan hal-hal seperti ini.

Tambah beliau lagi, apabila melihat diri kita dalam hubungan dengan kedudukan geografi negara, kita tidak lagi bercakap tentang kaum Melayu, Cina, atau India.

“Anda harus berbicara tentang Malaysia dan seluruh dunia,” kata Liew.

Sumber: New Straits Times (NST)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button