Hiburan

Penulis Kelahiran Malaysia Tinggalkan Projek ‘Crazy Rich Asians’ Kerana Diskriminasi

Penulis lakon layar kelahiran Malaysia, Adele Lim dilapor telah meninggalkan projek sekuel Crazy Rich Asians pada musim luruh tahun lalu kerana didakwa tidak mendapat bayaran setimpal dengan penulis lain yang bergandingan dengannya.

Menurut laporan majalah The Hollywood Reporter (THR), pihak studio Warner Bros. menawarkan sekitar AS$800,000 hingga AS$1 juta kepada seorang penulis lelaki berkulit putih, Peter Chiarelli. Namun, Adele hanya ditawarkan AS$110,000, jauh lebih rendah dari sepatutnya.

Alasan Warner Bros yang diberikan adalah kerana Peter merupakan penulis yang lebih berpengalaman dan telah memulakan kariernya sejak 2009 menerusi filem The Proposal yang dibintangi Sandra Bullock dan Ryan Reynolds manakala Crazy Rich Asians (CRA) merupakan filem Hollywood pertama Adele.

“Apabila dinilai sebegitu, saya tidak dapat mengelak daripada merasakan bahawa itu ‘sahaja’ persepsi mereka terhadap sumbangan saya,” kata Adele kepada THR.

Adele turut percaya bahawa wanita dan golongan bukan ‘berkulit putih’ sering kali dilihat sebagai ‘kicap’ – hanya digunakan untuk ‘perencah dan penyedap’ untuk beberapa perincian tentang budaya mereka kepada sesebuah skrip, bukannya untuk dihargai atas sumbangan yang signifikan.

Image result for adele lim crazy rich asian
Adele Lim

Pihak Warner Bros. menjelaskan kepada kumpulan yang mewakili Adele bahawa bayaran tersebut berdasarkan julat yang ditetapkan oleh industri yang mengambil kira pengalaman seseorang penulis.

Salah satu daripada syarikat penerbit filem itu, Color Force, kemudiannya mengambil masa lima bulan untuk mencari penulis lain yang turut berasal dari Asia.

Mereka kemudian kembali kepada Adele pada Februari lalu dengan tawaran lebih tinggi, selepas rakan sekerjanya Peter bersetuju untuk membahagikan bayarannya kepada Adele. Bagaimanapun, Adele menolak sumbangan itu.

“Peter memang seorang yang baik hati, namun saya tidak boleh hanya bergantung kepada kemurahan hati seorang penulis ‘berkulit putih’,” kata Adele.

Tambahnya, “Sekiranya saya tidak mendapat gaji yang adil selepas CRA, saya tidak boleh bayangkan bagaimana keadaannya selepas ini memandangkan bayaran dibuat berdasarkan sebut harga daripada filem-filem sebelum ini.

“Apatah lagi apabila wanita tidak ‘berkulit putih’ turut tidak pernah mendapat peluang untuk menulis banyak filem sebelum ini. Memang tidak mungkin kesaksamaan boleh dicapai dengan cara itu,” katanya.

Crazy Rich Asians meraih lebih AS$238 juta di seluruh dunia dan apa yang lebih penting berjaya mengangkat cerita berlatarkan Asia ke layar perak Hollywood.

Namun, ini tidak menandakan pengakhiran karier Adele. Anak keluaran Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sri Aman di Petaling Jaya itu menjadi salah seorang penulis bagi filem animasi Disney terbaharu, Raya and the Last Dragon.

Filem itu yang bakal menemui peminat pada November 2020 mengisahkan tentang perjalanan seorang pahlawan wanita, Raya dalam misinya untuk mencari naga terakhir di dunia.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button