AntarabangsaIsu Semasa

Penduduk Bimbang Kalimantan Ikut Jejak Jakarta

Kalimantan Timur, wilayah terpencil Indonesia di pulau Borneo akan diubah daripada hutan kepada bandar global apabila menjadi ibu negara baru untuk negara dengan jumlah 260 juta orang penduduk.

Indonesia bercita-cita untuk memindahkan pejabat kerajaan ke “Forest City” Kalimantan berikutan keadaan semasa ibu kota Jakarta, sebuah kota mega yang tercemar dan dihuni lebih dari 10 juta orang dan perlahan-lahan semakin tenggelam ke laut.

Pelan pemindahan yang pertama kali dicadangkan hampir 70 tahun lalu, juga untuk melepaskan risiko gempa bumi Jawa dan untuk meletakkan pusat politik Indonesia lebih dekat ke tengah-tengah kepulauan dan jauh dari pulau yang dominan politik.

“Dalam masa lima tahun, kita menganggarkan akan ada 200,000 hingga 300,000 penduduk. Dalam masa 10 tahun, mungkin penduduknya akan mencapai 1 juta dan selepas itu 1.5 juta,” kata Menteri Perancangan, Bambang Brodjonegoro kepada Reuters di Jakarta.

“Kami akan menguruskan pertumbuhan bandar supaya ia tidak terlalu padat,” katanya.

Bandar yang dianggarkan bernilai US$ 33 bilion (RM137 bilion) itu bakal diilhamkan daripada ciri pengurusan Seoul, kehijauan Singapura dan Washington yang mengasingkan bandar pentadbiran dari perniagaan.

Lokasi ibu kota baru ini adalah sekitar 1.300 km timur laut dari bandar Jakarta yang bakal menjadi bandar perniagaan.

Dengan mengenal pasti tapak untuk ibu negara baru, Presiden Joko Widodo semakin hampir untuk mencapai satu langkah yang dijangka akan bermula pada tahun 2024.

Ramai penduduk meluahkan harapan mereka untuk menerima sekolah yang lebih baik dan jalan berturap, air bersih, paip dan elektrik yang lebih baik.

Tetapi di sebalik kegembiraan itu, kebimbangan juga timbul bahawa harga tanah akan melonjak dan peningkatan kemasukan orang luar yang bersaing untuk pekerjaan dan kemusnahan alam sekitar.

Akhbar tempatan, Tribun Kaltim melaporkan permintaan harga tanah melonjak empat kali selepas pengumuman Presiden Jokowi.

Walaupun ada yang akan mendapat manfaat dari kenaikan harga tanah, masih ramai rakyat Indonesia yang tidak memiliki tanah sendiri di wilayah tersebut.

Apa yang lebih teruk, bukan rumah manusia sahaja yang berisiko. Kalimantan Timur dikenali untuk hutan yang didiami oleh orangutan, beruang matahari dan monyet belanda.

Kerajaan memaklumkan tidak akan ada pembangunan di kawasan hutan simpan dan mereka merancang untuk memulihkan semula lombong-lombong terbiar dan ladang kelapa sawit haram, kata Menteri Perancangan Brodjonegoro.

Brodjonegoro  mengaplikasikan idea pusat pemuliharaan orangutan sama dengan pusat pemuliharaan panda gergasi di bandar Chengdu China.

Bagaimanapun, para pemulihara alam sekitar berkata mereka tidak yakin bahawa tidak akan ada kesan limpahan pemindahan ibu kota ke Kalimantan Timur. Walaupun pusat bandar dibina jauh dari hutan, pembangunan akan mempunyai kesan besar seperti di Jakarta.

Di gerai yang menyajikan teh ais dan mi segera, Ipah, seorang ibu tunggal berusia 18 tahun, bimbang tentang apa yang akan berlaku.

“Bandar-bandar di Kalimantan aman dan tenang tetapi saya bimbang semua bakal berubah kerana ibu kota adalah bandar yang tidak pernah tidur, terlalu banyak asap dan terlalu banyak kekecohan,” kata Ipah.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button