AntarabangsaIsu Semasa

Apakah Cara Terbaik Untuk Menyelesaikan Konflik Kashmir?

Isu Jammu dan Kashmir menjadi topik utama yang diperbincangkan dalam mesyuarat dua hala di antara Perdana Menteri dan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi pada Khamis.

Menurut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, kedua-dua pemimpin itu secara umumnya membincangkan hubungan bilateral Malaysia-India dalam pertemuan yang diadakan atas permintaan Modi, di luar acara Sidang Kemuncak Ekonomi Timur di Rusia baru-baru ini.

“Perdana Menteri Modi mengambil masa untuk menjelaskan kedudukan Jammu dan Kashmir sementara Tun Dr Mahathir menjelaskan pendirian Malaysia bahawa semua pihak perlu memenuhi atau mematuhi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam satu sidang media.

Namun jelas beliau, Dr Mahathir tidak menzahirkan sokongan atau bantahan terhadap mana-mana pihak, tetapi berharap agar konflik tersebut dapat diselesaikan dan tidak akan membawa kepada peperangan.

Selain daripada mematuhi resolusi PBB, Perdana Menteri turut berkata bahawa cara yang terbaik untuk menyelesaikan isu di Kashmir adalah menerusi perundingan, serta membawa pihak ketiga jika perlu, atau membawa kes ini ke mahkamah antarabangsa.

Mengenai kepentingan isu ini pada Malaysia, Saifuddin menyatakan bahawa Modi menganggap Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai kedudukannya tersendiri dalam kalangan negara-negara Islam lain, yang boleh menjelaskan situasi sebenar sekiranya perkara ini ditimbulkan di mana-mana platform antarabangsa.

Berdasarkan laporan media, ketegangan di antara Pakistan dan India bertambah buruk pada bulan lepas susulan tindakan New Delhi membatalkan status khas Jammu dan Kashmir yang membolehkan penduduknya menggubal undang-undang sendiri dan menghalang orang luar menetap di wilayah itu.

Jammu dan Kashmir yang terletak di rantau Himalaya mempunyai populasi majoriti Islam. Ia dibahagikan kepada dua wilayah yang dikuasai oleh India dan Pakistan. Tetapi, kedua-dua kuasa nuklear itu menuntut untuk menguasai dua wilayah tersebut sepenuhnya.

Sejak tahun 1947, India dan Pakistan telah terlibat dalam tiga peperangan iaitu pada tahun 1948, 1965, dan 1971, untuk menguasai Kashmir.

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button