AntarabangsaIsu Semasa

Mengapa Bangladesh Sekat Akses Telefon Bimbit Di Kem Rohingya?

Kerajaan Bangladesh pada awal minggu ini telah mengarahkan pengendali telekomunikasi untuk menutup perkhidmatan telefon bimbit bagi hampir sejuta pelarian Rohingya yang tinggal di kem-kem di bahagian tenggara negara itu.

Langkah tersebut diambil susulan insiden keganasan yang dilaporkan berlaku di kem-kem tersebut sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Difahamkan, kebanyakan penghuni yang berada di kem itu merupakan warga Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh dari negeri Rakhine, Myanmar, susulan operasi ketenteraan brutal yang dilancarkan ke atas etnik minoriti tersebut pada dua tahun lepas.

Menurut jurucakap Suruhanjaya Penyeliaan Telekomunikasi Bangladesh (BTRC), Zakir Hossain Khan, pengendali komunikasi diberi tempoh selama tujuh hari untuk mengemukakan laporan berhubung tindakan yang telah mereka ambil untuk mematikan rangkaian telefon bimbit di kem-kem berkenaan.

“Ramai pelarian menggunakan telefon bimbit di kem. Kami telah meminta pengendali untuk mengambil tindakan dan menghentikannya,” kata beliau sambil menambah bahawa keputusan itu adalah berdasarkan “faktor keselamatan.”

Walau bagaimanapun, arahan tersebut ternyata mengejutkan pelarian-pelarian Rohingya di sana, menurut salah seorang ketua komuniti itu yang enggan identitinya didedahkan.

Jelasnya, larangan ini akan memberi kesan besar terhadap kehidupan Rohingya dan akan mengganggu komunikasi di antara kem-kem yang berlainan di seluruh sempadan daerah Cox’s Bazar.

“Kita tidak akan dapat berkomunikasi dengan saudara-mara yang menetap di Myanmar atau tempat-tempat lain di dunia,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ramai Rohingya bergantung kepada kiriman wang yang dihantar oleh diaspora mereka, dan mereka juga selalunya akan menerima panggilan telefon untuk dimaklumkan mengenai wang yang dikirim itu.

Sebelum ini, Bangladesh pernah cuba untuk menyekat akses telefon bimbit kem-kem itu. Namun, ia tidak dikuatkuasakan dengan serius, sekali gus menggalakkan lagi pasaran set telefon bimbit dan kad sim di kem.

Sementara itu, jurucakap polis, Ikbal Hossain menyambut baik keputusan kerajaan untuk menyekat akses telefon bimbit.

Menurt beliau, terdapat pelarian yang “menyalahguna” telefon bimbit untuk melakukan kegiatan jenayah, termasuk menyeludup pil methamphetamine bernilai ratusan juta dolar dari Myanmar.

“Langkah ini sememangnya akan memberi impak positif. Saya percaya bahawa kegiatan jenayah pasti akan menurun,” katanya.

Sumber: The Star – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button