Isu SemasaSainsTempatan

Ketahui Mengapa Pokok Merbau Dipilih Sebagai Pokok Kebangsaan Malaysia

Pada 22 Ogos yang lalu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir telah merasmikan Pameran ‘Hutan Kita’ di Menara Kuala Lumpur dan mengisytiharkan pokok Merbau sebagai pokok kebangsaan Malaysia.

Daripada pelbagai pokok yang berada di tanah air, mengapa pokok Merbau dipilih sebagai pokok kebangsaan kita?

Pokok merbau dipilih menjadi Pokok Kebangsaan Malaysia sebagai lambang keutuhan integriti hutan negara, hasil daripada pengurusan secara mampan serta usaha pemuliharaan khazanah biodiversiti Malaysia.

Ini kerana pokok Merbau yang juga dikenali sebagai ‘kayu besi’ sememangnya mempunyai kayu yang tahan lasak, kuat dan kukuh.

Pokok Merbau juga merupakan simbol kepentingan hutan kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr. Abd Latif Mohmod kekuatan merbau ini dikatakan hampir 100% tidak memerlukan rawatan untuk mencegah serangan anai-anai dan tahan pada cuaca yang sentiasa berubah-ubah.

Di Mana Kita Boleh Dapati Pokok Merbau?

Pokok ini yang mudah didapati secara meluas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta di negara jiran terutamanya di pinggir sungai dalam hutan tanah pamah sehingga altitud 1,000 m.

 

Ciri-Ciri Pokok Merbau

Pokok Merbau mampu mencapai ketinggian sehingga 50 meter dan disokong oleh banir yang menjalar setinggi 7 meter. Malah batangnya boleh membesar sehingga enam ke tujuh pemeluk orang dewasa.

Sumber Imej: forestry.gov.my

Ia merupakan spesies daripada kaum kekacang (famili Fabaceae).

Disebalik kegagahan pokok merbau, ia menghasilkan bunga yang kelihatan seperti orkid dan dedaunan yang tebal, berkilat serta tirus.

Menariknya daun pokok merbau berbentuk bujur, tebal, dan berkilat dengan bunga berwarna putih kekuningan boleh dibuat minyak bagi perubatan tradisional.

Pokok Merbau atau nama saintifiknya Intsia palembanica juga dikenali sebagai Malacca Teak, Borneo Teak dan juga Moluccan Ironwood bagi golongan pembalak.

Keunikan Kayu Merbau

Kayu merbau merupakan kayu keras berat (heavy hardwood) yang berkualiti tinggi malah kerana ia kayu yang sangat tahan lama, ia ditemukan di antara penemuan artifak purba di Gua Agop Batu Tulug, Kinabatangan, Sabah yang berusia 900 tahun dan masih kukuh.

Oleh sebab ini juga kayu merbau ini juga sangat sesuai dijadikan bahan binaan seperti lantai dan produk kelengkapan rumah kerana bintik-bintik berwarna emas sepanjang ira kayunya pula menyerlahkan lagi keunikannya untuk dijadikan produk hiasan seperti perabot.

Kenangan Pengisytiharan Pokok Kebangsaan

Bagi pengumpul setem, sempena pengisytiharan pokok Merbau sebagai pokok kebangsaan, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), FRIM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah menghasilkan setem komemoratif bagi meraikan pelancaran merbau sebagai Pokok Kebangsaan Malaysia.

Sumber Imej : myfdc.me

Setem keluaran terhad ini dijual di Pusat Informasi Pelawat (VIC) FRIM, Kepong dengan harga RM40 satu lembaran.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button