Isu SemasaTempatan

Axiata Dan Telenor Tidak Jadi Bergabung

Gabungan di antara syarikat telekomunikasi Axiata Group Bhd dan Telenor ASA dari Norway dilaporkan telah dibatalkan.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menamatkan rundingan penggabungan operasi telekomunikasi Asia mereka di bawah entiti global yang digabungkan (MergedCo), yang sepatutnya membentuk juara global baharu.

“Sejak empat bulan yang lalu, kedua-dua pihak telah melakukan usaha wajar (due diligence) dan memuktamadkan perjanjian transaksi yang akan diselesaikan pada suku ketiga tahun 2019.

“(Tetapi) disebabkan beberapa kerumitan yang ada dalam transaksi yang dicadangkan, kedua-dua pihak sebulat suara bersetuju untuk menamatkan perbincangan,” kata Axiata.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak mengakui “kewajaran strategik yang kukuh” pada cadangan transaksi itu dan tidak menolak kemungkinan transaksi pada masa akan datang.

Sementara itu, dagangan dalam saham Axiata dan Digi telah digantung pada tengah hari.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid menyatakan bahawa lembaga pengarah mengakui kewajaran strategik pada cadangan transaksi itu, dan pada masa yang sama turut menyedari tahap kerumitan perjanjian sedemikian yang membabitkan  9 buah negara dan 14 entiti besar.

“Tidak mengambil kira sinergi gabungan itu, kami yakin bahawa pembatalan transaksi yang dicadangkan itu tidak menjejaskan kumpulan ini dalam mencapai cita-cita ‘Juara Digital’.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah Axiata, kami berterima kasih atas sokongan Kerajaan Malaysia, pelabur dan semua pekerja kami semasa proses ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Digi berkata bahawa lembaga pengarahnya telah dimaklumkan oleh Telenor ASA (Telenor), iaitu syarikat induk kepada pemegang saham terbesar Digi, Telenor Asia Pte Ltd, bahawa Telenor dan Axiata telah bersetuju untuk menamatkan rundingan berhubung gabungan tersebut.

Selain daripada kerumitan perjanjian itu yang membabitkan 14 entiti di 9 buah negara, halangan-halangan lain termasuk isu-isu komersil, kepentingan negara dan kakitangan, serta keengganan Indonesia untuk memberi ‘restunya’, memandangkan ia melihat Norway menjadi sebahagian daripada tekanan yang diberi oleh Kesatuan Eropah (EU) ke atas import minyak sawit.

Tanpa Indonesia sebagai sebahagian daripada kumpulan besar ini, kemungkinan untuk merealisasikan perjanjian ini adalah mustahil.

“Kedua-dua pihak sedang cuba yang terbaik, memandangkan penggabungan ini akan membawa mereka melangkaui sempadan mereka untuk mewujudkan kuasa Asia.

“Tetapi, kerumitan dan isu-isu membabitkan komersil, kepentingan negara dan kakitangan menjadikannya amat mencabar,” kata seorang eksekutif industri yang berpengetahuan tentang perjanjian itu.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button