Gaya HidupPercutian

Diskaun VS Mata Ganjaran: Mana Yang Lebih Menguntungkan

Dahulu, seseorang individu yang melancong hanya akan memilih untuk terbang dengan syarikat tertentu atau menginap di hotel tertentu sahaja. Ini adalah supaya para pengguna akan dapat meraih mata ganjaran setiap kali mereka melancong atau mendaftar masuk ke hartanah terbabit.

Tetapi “kesetiaan” dalam pelancongan telah berubah terutama di kalangan demografi yang lebih muda. Pelancong hari ini tidak lagi setia dengan satu jenama sahaja kerana harga menjadi keutamaan yang lebih besar.

Dan Internet telah menjadikannya sangat mudah untuk mendapatkan tawaran perjalanan yang terbaik. Pakar kesetiaan perjalanan Mark Ross-Smith mengatakan ada perubahan trend di kalangan pelancong hari ini.

“Ketika pelancong sedang mempertimbangkan syarikat penerbangan, terutamanya di Malaysia, mereka lebih memlilih apa yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan terbabit berbanding apa yang ditawarkan oleh program kesetiaan.

“Peralihan ini berlaku kerana pengguna lebih memandang diskaun berbanding nilai. Pelancong yang tertarik dengan diskaun rela melepaskan faedah kesetiaan untuk penjimatan kos pelancongan mereka,” katanya.

Walau bagaimanapun, harga yang kompetitif hanya salah satu faktor perubahan tingkah laku pembelian di kalangan pelancong.

“Terdapat pelbagai penyelidikan yang menunjukkan bahawa diskaun tidak meningkatkan tingkah laku kesetiaan. Malah, ia mempunyai kesan yang berlawanan dari masa ke masa di mana pelanggan menjadi kurang setia kepada program ini, dan lebih setia kepada diskaun yang lebih tinggi,” kata Ross-Smith.

“Sebaliknya, pelancong yang tidak terjebak dengan diskaun cenderung membeli berdasarkan nilai di mana mereka mahu dan mengharapkan lebih banyak daripada program kesetiaan mereka. Ini termasuk keutamaan daftar masuk, akses lounge, bagasi tambahan percuma dan peningkatan kelas penerbangan,” jawab Ross-Smith.

Meraih lebih banyak ganjaran

Mekanisme di sebalik program kesetiaan perjalanan agak mudah. Lazimnya, setiap tiket penerbangan yang anda beli akan mendapat mata yang boleh ditebus dengan percuma atau perjalanan dengan diskaun.

Program kesetiaan hotel juga berfungsi dengan cara sama di mana tetamu mengumpulkan mata ganjaran percuma apabila mereka membuat pembelian berulang dengan sesebuah hotel.

Tetapi adakah pelancong menebus ganjaran tersebut? Pada tahun 2013, CNN melaporkan bahawa satu kajian telah menemui lebih daripada 40% pengguna penerbangan British tidak pernah menebus mata ganjaran mereka.

Ross-Smith berkata pelancong perlu meluangkan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan proses tersebut.

“Ahli program kesetiaan yang belajar tentang cara mendapatkan mata ganjaran, mendapat lebih banyak hadiah, menerima lebih banyak penerbangan percuma dan menjadi pelanggan yang beruntung,” katanya.

Untuk memudahkan pelancong, kini terdapat trend program kesetiaan yang lebih luas iaitu mata ganjaran diberikan bukan dengan perjalanan penerbangan sahaja.

AirAsia BIG, anak syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia, telah melaksanakan pendekatan baru ini dalam program kesetiaan mereka. Ia kini menawarkan penebusan mata ganjaran merangkumi perjalanan, gaya hidup dan perkhidmatan kewangan.

“Kami berpindah dari pendekatan lama untuk memastikan pelanggan dapat memperoleh mata lebih pantas dan lebih mudah daripada lebih banyak platform,” kata ketua pegawai eksekutif AirAsia BIG Spencer Lee.

“Tanpa pendekatan baru, kebanyakan program kesetiaan syarikat penerbangan menjauhkan pelanggan mereka. Program kesetiaan mesti terus berinovasi untuk memberi nilai kepada pengguna,” tambahnya.

AirAsia BIG kini mempunyai lebih daripada 24 juta Ahli BIG. Aktiviti penebusan berlaku setiap hari, dengan purata 26 juta Mata Ganjaran BIG ditebus setiap hari.

Bagaimana untuk memilih program kesetiaan?

“Jika kos perbelanjaan purata bulanan rakyat Malaysia iaitu RM2,000 dimasukkan ke dalam kad kredit untuk mendapatkan mata, itu boleh menjadi 10,000+ kilometer mata setiap tahun, yang lebih daripada cukup untuk penerbangan percuma di Malaysia. Kaedah pembayaran (misalnya: kad kredit) adalah kunci untuk mendapatkan mata ganjaran syarikat penerbangan.” – Mark Ross-Smith, pakar kesetiaan perjalanan

“Cari program yang sesuai dengan keperluan dan corak perbelanjaan anda untuk memaksimumkan jumlah mata yang berpotensi anda perolehi, kemudian fokus padanya supaya titik kesetiaan anda tertumpu dalam satu program sahaja. Anda mungkin juga ingin mencari program yang mempunyai rakan kongsi atau perjanjian yang membolehkan anda memindahkan mata antara syarikat itu.” – Spencer Lee, AirAsia BIG

“Cari program yang menawarkan lebih daripada keperluan asas seperti penerbangan dan penginapan. Program yang baik membolehkan pelancong menikmati negara yang dilawati dengan tawaran pengalaman sekali dalam seumur hidup.” – Alan Tsui, Marriott Antarabangsa Asia Pasifik

“Setiap orang harus menjadi anggota program kesetiaan sama ada mereka kerap terbang atau tidak. Beberapa program kesetiaan syarikat penerbangan menawarkan manfaat melebihi ganjaran biasa seperti diskaun dan akses eksklusif serta keistimewaan lain termasuk festival.” – Lau Yin May, Malaysia Airlines

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button