Sukan

Ada Yang Mahu Bantu Reka Pakaian Patuh Syariah Atlet Gimrama Terengganu?

Pada awal minggu ini kerajaan Terengganu menyatakan kesediaan untuk menarik diri dalam dua bentuk sukan iaitu gimnastik dan gimrama wanita kerana tuntutan yang perlu dipatuhi atlet bercanggah dengan garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu diambil kerana berdepan halangan dalam soal pakaian patuh syariah yang bercanggah peraturan ditetapkan persatuan atau badan induk sukan berkenaan.

 

Terengganu Tidak Boleh Berkompromi Dengan Sukan Gimrama Kerana Pakaian Terlalu Ghairah?

“Dalam pembentangan kertas kerja Garis Panduan Sukan Menurut Islam oleh Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda menyebut, ada beberapa sukan yang memang kita tidak boleh berkompromi sebab ia bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan.

“Sukan-sukan itu bukan sahaja menuntut atlet melakukan aksi luar daripada kebiasaan tetapi menonjolkan aksi yang boleh mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki. Sukan ini dalam Islam pun tidak dibolehkan, jadi kita terpaksa tarik diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Garis Panduan Sukan Menurut Islam 2019 yang diadakan untuk mendapatkan pandangan semua pihak termasuk cendekiawan Islam, kalangan ahli akademik, para pegawai negeri ini dan Kelantan serta wakil-wakil persatuan sukan berhubung garis panduan yang dibentangkan.

 

Gimnastik Terengganu Bagi Lelaki Tiada Halangan

Bagaimanapun Wan Sukairi berkata, tiada halangan bagi atlet lelaki untuk terlibat dalam sukan itu dan kerajaan negeri tidak mengambil pendekatan terburu-buru dalam pelaksanaan konsep pemakaian patuh syariah kerana ia perlu dilihat dalam konteks menyeluruh.

“Etika pemakaian patuh syariah ini luas dan bukan hanya terhad kepada etika berpakaian, sebaliknya merangkumi soal pergaulan di samping perkara-perkara teknikal dalam bidang sukan.

“Jadi, garis panduan pemakaian patuh syariah terhadap atlet beragama Islam yang mewakili negeri akan dilaksanakan selepas kerajaan negeri menyediakan jalan penyelesaian terbaik terhadap seluruh aspek sukan dan lain-lain perkara,” katanya.

 

Pereka Fesyen Dialu-alukan Terengganu

Wan Sukairi juga mengalu-alukan mana-mana pereka fesyen tanah air yang ingin menyumbangkan idea bagi menghasilkan pakaian patuh syariah yang sesuai untuk atlet negeri ini dengan mengambil kira keperluan yang ditetapkan bagi jenis-jenis sukan.

Walau bagaimanapun, bagi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berpendapat bahawa walaupun agama adalah aspek penting dalam konteks Malaysia tetapi ia tidak wajar untuk kerajaan Terengganu mengenakan dasar menarik diri daripada sebarang acara sukan gimnastik dan gimrama.

Menurut beliau, isu pemakaian adalah hak peribadi setiap individu dan adalah tidak adil jika larangan itu turut terpakai kepada yang bukan beragama Islam.

 

“Ghairah” Tidak Pernah Wujud Dalam Gimnastik & Gimrama

“Sukan andalah pentas untuk atlet negara mempamerkan disiplin diri dan semangat kesukanan yang tinggi, demi cita-cita untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia. Maka, takrifan “ghairah” itu tidak pernah wujud dalam arena gimnastik dan gimrama. Ia tidak harus dijadikan asas dalam dasar pembangunan sukan,” katanya dalam kenyataan media disiarkan MSN.

Ahmad Shapawi turut berkata bahawa isu pemakaian sukan khususnya bagi sukan-sukan yang melibatkan pendedahan aurat bukan sahaja pernah dibincangkan beberapa kali sebelum ini malahan dibawa sehingga ke peringkat Parlimen.

 

Sepatutnya Menjadi Hak Individu Tentang Berpakaian

Bagi Ahmad Shapawi, sekiranya individu tertentu menganggap pemakian pakaian tersebut menyalahi syariah, maka individu ini mempunyai pilihan untuk tidak terbabit dalam sukan itu walaupun mereka memiliki minat dan bakat yang tinggi di dalam sukan tersebut.

“Sehubungan itu, saya berpandangan adalah tidak wajar dibangkitkan isu pemakaian itu dan mungkin amat malang sekali jika cadangan Kerajaan Negeri Terengganu ini juga akan terpakai kepada yang bukan beragama Islam kerana sukan tidak patut digunakan bagi menyekat kebebasan mereka yang ingin menceburi bidang berkenaan,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button