AntarabangsaIsu Semasa

1999 Tahun Yang Bermakna Dan Bersejarah Buat Timor Leste

Timor Leste mempunyai sejarah silam yang tidak menentu, di mana ia dijajah oleh Portugis lebih daripada 400 tahun, berada di bawah taklukan Indonesia selama 24 tahun sebelum ini.

Walau bagaimanapun, negara itu berjaya mencapai kemerdekaan pada tahun 2002.

Pada Jumaat lalu, Timor Leste menyambut ulang tahun ke-20 sejak referendum yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengakhiri penaklukan Indonesia, sekali gus membawa kepada kemerdekaannya.

“Kami bangga dengan bagaimana negara ini telah membangun. Ia perlahan, tetapi perubahan sedang berlaku,” kata seorang rakyatnya, Carlos Barreto yang berusia 40 tahun.

Walau bagaimanapun, keadilan tidak terbela sepenuhnya bagi keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam gelombang pertumpahan darah yang dilakukan oleh tentera Indonesia berikutan referendum kemerdekaan pada tahun 1999.

Difahamkan, tragedi berdarah tersebut akhirnya berjaya dihentikan dengan bantuan pasukan pengaman PBB yang diketuai oleh Australia.

“Tentera dan militia Indonesia membunuh individu-individu yang mahu menjadikan (Timor Leste) sebagai negara yang merdeka.

“Perjuangan untuk kebebasan tidak mudah,” kata Bere Aldanha, 48, yang menyaksikan empat orang adik beradik lelakinya terkorban dalam konflik itu.

Pada 30 Ogos 1999, hampir 80% penduduk East Timor (Timor Leste) mengundi untuk berpisah dari Indonesia.

Sepanjang penaklukan Indonesia ke atas Timor Leste sejak tahun 1975, seramai 250,000 mangsa dilaporkan telah terkorban akibat pertempuran, penyakit, dan kebuluran.

Infrastruktur-infrastruktur di sana turut dimusnahkan sekali gus menyebabkan ratusan ribu penduduk terpaksa melarikan diri ke bahagian-bahagian lain di Indonesia.

Namun akhirnya pada tahun 2002, Timor Leste yang mempunyai populasi 1.3 juta penduduk telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka.

Hubungan di antara Timor Leste dan Indonesia juga dikatakan kini bertambah baik.

Walau bagaimanapun, negara miskin itu kini berdepan masalah kewangan yang serius, di mana hasil pendapatan minyaknyadan sektor-sektor ekonomi lain merosot.

Malah menurut Bank Dunia, kira-kira 40% rakyat Timor Leste hidup dalam keadaan miskin.

Pada Khamis lalu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison telah menandatangani sebuah perjanjian sempadan maritim yang berpotensi mendatangkan hasil pendapatan minyak pesisir pantai dan gas bernilai berbilion dolar.

Namun, penganalisis berpandangan bahawa Timor Leste mungkin tidak akan mampu membangunkan medan minyak pesisir pantainya dengan sendiri, dan mungkin harus meminta bantuan dari China berikutan pengaruh ekonomi dan ketenteraan Beijing yang semakin meningkat di rantau itu.

“Sekiranya kerajaan (Timor Leste) melakukannya dengan sendiri, ia dijangka sukar untuk dikekalkan (kos yang terlalu tinggi) dan akan menghabiskan rizab kewangan negara itu yang terhad dengan cepat,” kata Damien Kingsbury, seorang profesor politik antarabangsa dari Deakin University, Australia.

“Ia juga mungkin akan memerlukan pinjaman, mungkin dari China, yang akan menjadikan negara itu terhutang budi kepada China,” tambah beliau sambil berkata bahawa niat Beijing “tidak selalunya baik.”

Sementara itu, Australia juga dilaporkan komited untuk melabur dalam infrastruktur laut Timor Leste dan menyediakan kabel internet bawah laut di antara kedua-dua negara.

“Ini merupakan babak baru bagi Australia dan Timor Leste, di mana ia adalah berdasarkan penghormatan, minat, dan nilai bersama.

“Timor Leste telah melalui perkembangan yang hebat sejak 20 tahun lalu dan kami mahu membantu Timor Leste berkembang lagi bagi tempoh 20 tahun dan seterusnya,” ujar Morrison.

Sumber: Channel News Asia

Show More

Related Articles

Back to top button