AntarabangsaIsu Semasa

Hubungan Jepun Dan Korea Selatan Semakin Dingin. Apa Yang Sedang Berlaku?

Jepun dan Korea Selatan merupakan negara demokrasi liberal dan sekutu serantau rapat Amerika Syarikat (AS).

Tetapi, kedua-dua negara itu tidak menjalinkan hubungan yang baik, malah semakin bertambah dingin hari demi hari.

Perseteruan ini menjadi semakin hangat pada bulan Oktober 2018 apabila mahkamah agung Korea Selatan memutuskan bahawa syarikat-syarikat Jepun yang menjadikan rakyat Korea sebagai buruh paksa ketika Perang Dunia Kedua (WWII) wajib membayar pampasan kepada mangsa-mangsa yang menyaman negara itu.

Jepun, yang telah lama bertegas bahawa semua tuntutan tersebut telah dilangsaikan menerusi sebuah perjanjian yang dimeterai pada tahun 1965, menggesa campur tangan kerajaan Korea Selatan berhubung keputusan mahkamah tersebut.

Namun kerajaan Seoul menolak gesaan itu, sambil berkata bahawa ia tidak akan masuk campur dalam urusan kehakiman.

Selepas aset milik syarikat-syarikat Jepun yang terjejas oleh keputusan mahkamah itu dirampas, Tokyo telah mengenakan sekatan eksport ke atas Seoul pada bulan Julai lalu, membabitkan bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan cip, yang menjadi industri utama di Korea Selatan.

Pada bulan Ogos pula, Korea Selatan bertindak balas dengan menarik diri daripada pakatan perkongsian perisikan dengan Jepun, sekali gus meningkatkan ketegangan di antara kedua-dua negara itu.

Tetapi, keputusan mahkamah itu bukanlah punca utama keadaan menjadi dingin. Difahamkan, Korea Selatan dan Jepun telah berseteru berhubung isu masa lampau selama berdekad-dekad.

Jepun telah menakluk dan menjajah Korea dari tahun 1910 sehingga 1945, dan tidak pernah mengaku secara penuh atau menebus kesalahan mereka dengan betul di atas kekejaman yang dilakukannya pada waktu itu.

Mungkin masih tidak berpuas hati dengan insiden masa lampau, kerajaan Korea Selatan pula kadang kala telah ‘menggunakan’ kebencian itu untuk menggerakkan sentimen nasionalis.

Perdebatan berhubung isu pampasan untuk rakyat Korea yang dipaksa bekerja di kilang-kilang Jepun, atau dipaksa menjadi hamba seks bagi tentera Jepun, terbukti mencetuskan ketegangan.

Walau bagaimanapun, kedua-dua negara itu pada kebanyakan masa mampu mengasingkan perselisihan di antara mereka ini daripada perkara-perkara lain seperti kerjasama dalam perdagangan dan keselamatan negara.

Ini adalah kerana AS – yang merupakan sekutu Jepun dan Korea Selatan, dan turut bergantung kepada kerjasama mereka dalam menangkis ancaman di rantau itu, khususnya dari Korea Utara – selama ini telah tampil untuk menenangkan kedua-dua pihak apabila keadaan dilihat semakin bertambah buruk.

Namun di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, AS dilaporkan semakin jauh tersasar daripada komitmen antarabangsanya.

Hubungan Trump bersama pemimpin agung Korea Utara, Kim Jong-un , telah menyebabkan beliau tidak menganggap program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang sebagai satu perkara yang berisiko tinggi.

Trump juga mengadu tentang kos untuk mengekalkan tentera AS di rantau itu, dan dilihat berat hati untuk terlibat dalam persengketaan Jepun dan Korea Selatan.

Sementara itu, memandangkan sentimen nasionalis di Jepun dan Korea Selatan meraih sokongan yang meraih sokongan meluas daripada rakyat masing-masing, kedua-dua pihak dijangka tidak akan ‘berundur’ daripada perseteruan ini dalam jangka masa pendek.

Buat masa ini, insiden masa lampau akan terus ‘menghantui’ keadaan semasa.

Sumber: The Economist

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close