Gaya HidupIbu dan AnakKesihatan

Apakah Yang Menyebabkan 4 Negara Eropah Ini Ditarik Semula Status ‘Bebas Demam Campak’?

Pada hujung bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengumumkan penarikan semula status ‘bebas demam campak’ di empat negara Eropah berikutan dengan peningkatan mendadak dalam kes demam campak di seluruh dunia.

Berdasarkan data yang diperoleh, WHO melaporkan hampir 365,000 kes jangkitan demam campak telah dicatatkan di seluruh dunia, hampir tiga kali ganda berbanding jumlah kes yang tercatat pada 6 bulan pertama dalam tahun 2018.

Empat negara Eropah yang dimaksudkan – United Kingdom, Albania, Greece dan juga Czech Republik, dahulunya telah memperoleh status tersebut setelah berjaya menghapuskan penyebaran endemik virus tersebut dalam negara mereka untuk sekurang-kurangnya 12 bulan.

Apa Itu Demam Campak?

Demam campak yang dikenali sebagai ‘measles’ dalam bahasa Inggeris, ia merupakan sejenis jangkitan yang berpotensi untuk membawa maut dan juga cukup mudah untuk berjangkit.

Ia boleh disebarkan melalui titik-titik air (air droplets) yang dilepaskan ketika batuk atau bersin; atau melalui sentuhan dengan cecair daripada saluran pernafasan.

Virus ‘measles’ boleh berada dalam udara atau pada permukaan sehingga dua jam selepas dilepaskan dan berupaya untuk mengakibatkan jangkitan dalam hampir 90 % individu yang berdekatan yang tidak imun.

Simptom jangkitan termasuklah pembentukan ruam pada bahagian kulit, demam panas, konjunktivitis, pening kepala dan juga simptom-simptom respiratori seperti batuk dan bersin.

Bagaimana untuk melawannya?

Memandangkan tiada penawar untuk jangkitan ini dan rawatan yang ada hanyalah bertujuan untuk mengawal simptom-simptom penyakit, penggunaan vaksin adalah strategi utama yang digunakan di semua negara di seluruh dunia.

Walaupun terdapat beberapa tuduhan tidak berasas berkaitan vaksin sejak kebelakangan ini, penggunaannya telahpun terbukti sebagai selamat dan juga cukup berkesan dalam menurunkan insiden kes jangkitan.

Menurut Hellodoktor, dari sudut pandang ekonomi pula, ia juga merupakan kaedah yang cukup kos efektif, dengan hanya sekitar RM 4 (1USD) sahaja kos yang dibelanjakan bagi menghasilkan perlindungan sepanjang hayat dalam setiap seorang ahli masyarakat.

Sebelum pengenalan vaksin demam campak yang meluas, hampir semua orang akan dijangkitnya sebelum mencapai usia 15 tahun. Dari situ, beberapa komplikasi boleh berlaku seperti keradangan otak akut (subacute sclerosing panencephalitis) dan juga jangkitan respiratori sekunder oleh bakteria lain.

 

Apakah Yang Menyebabkan Demam Campak Ini Muncul Kembali?

Menurut Dr. Kate O’Brien, pegawai daripada Jabatan Imunisasi WHO, peningkatan dalam insiden demam campak ini adalah sesuatu yang cukup merisaukan kerana kesemua empat negara tersebut telahpun mencatatkan liputan perlindungan peringkat nasional yang amat tinggi.

“Ini adalah satu laungan amaran yang sedang bergema diseluruh dunia: mencapai liputan perlindungan yang tinggi di peringkat nasional tidak lagi mencukupi, ia (liputan perlindungan yang tinggi) perlu dicapai dalam setiap komuniti, dalam setiap keluarga untuk setiap anak-anak,” ujar beliau.

Dr O’Brien juga berpendapat bahawa salah faham dan penyebaran maklumat yang tidak tepat berkaitan dengan vaksin telah membenarkan jangkitan ini untuk datang kembali, khususnya dalam kawasan-kawasan dan juga komuniti yang rentan (susceptible).

Syarikat-syarikat media sosial dan juga pemimpin-pemimpin di seluruh dunia telah diajak untuk menyahut seruan perjuangan menentang penyebaran maklumat palsu berkaitan vaksin dan juga untuk mempromosikan maklumat vaksin yang tepat dan sahih berdasarkan kajian sains.

Dengan kes penularan yang terbesar dalam sejarah terdekat negara mereka, negara-negara seperti Democratic Republic of Congo, Madagascar dan juga Ukraine adalah negara yang paling teruk terjejas akibat daripada fenomena ini.

Pegawai-pegawai daripada WHO juga turut mengakui bahawa peningkatan insiden jangkitan ini juga boleh disebabkan oleh terhadnya akses terhadap program imunisasi di kawasan-kawasan tertentu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button