Isu SemasaPolitikTempatan

“Saya Tidak Boleh Lantang Seperti Dulu” – Art Harun

Setahun sudah berlalu sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH), sekali gus menamatkan pemerintahan parti pemerintah terdahulu, Barisan Nasional (BN) selama lebih daripada 60 tahun.

Selepas selesai ‘Bapa Segala Pilihan Raya’ itu, orang awam telah menggesa pelaksanaan pembaharuan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan individu yang diamanahkan untuk melakukan tugas tersebut adalah Azhar Azizan Harun.

Azhar atau lebih mesra dikenali sebagai Art Harun merupakan peguam yang sebelum ini terkenal dengan kelantangannya bersuara dalam isu-isu membabitkan politik dan undang-undang ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

Kini sudah menggalas jawatan Pengerusi SPR selama hampir setahun, Azhar komited untuk melakukan pembaharuan yang sewajarnya dalam usaha memastikan proses pilihan raya pada masa akan datang dapat dilaksanakan dengan telus dan bersih.

“Pengalamannya amat baik. Saya mempelajari banyak perkara, terutamanya tentang bagaimana kerajaan berfungsi,” katanya dalam satu wawancara ekslusif bersama The Malaysian Reserve (TMR) pada bulan lepas.

Menurut Azhar, beliau juga perlu mengubah personalitinya untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin SPR, dan harus menjadi lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan.

“Saya tidak boleh menjadi lantang seperti dulu. Saya perlu berhati-hati tentang apa yang saya katakan,” ujar beliau.

Apabila ditanya sama ada beliau perlu membuktikan dirinya ‘neutral’ atau tidak berpihak kepada sesiapa, Azhar menyatakan bahawa tindakannya akan menjadi penentu kepada perkara tersebut.

“Ini ialah jangkaan orang ramai dan saya tidak menyalahkan mereka untuk berharap saya menjadi tidak berat sebelah. Ini merupakan sebahagian daripada tugas saya.

“Setakat ini, saya tidak berat sebelah tetapi ini hanya pandangan saya. Orang akan sentiasa mempunyai pandangan mereka sendiri tentang sama ada saya tidak berat sebelah atau sebaliknya, tetapi saya akan biar tindakan saya menentukannya,” katanya.

Tambah beliau, apabila menjadi ‘pengadil’ dalam sesuatu keadaan, kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

“Sama seperti menjadi hakim. Pihak yang kalah akan sentiasa berkata bahawa hakim itu bias,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Azhar menyatakan bahawa beliau akan mengambil segala kritikan yang diterimanya secara positif selain daripada berusaha untuk menjadikan SPR sebagai institusi yang lebih baik.

Mengulas tentang dasar reformasinya, beliau berkata bahawa terdapat enam kategori yang akan menjalani pembaharuan.

Jelas Azhar, beliau telah menubuhkan enam jawatankuasa dasar bagi setiap kategori iaitu:

1. Jawatankuasa pendaftaran pemilih

2. Jawatankuasa persempadanan pilihan raya

3. Jawatankuasa proses pilihan raya

4. Jawatankuasa kesalahan pilihan raya

5. Jawatankuasa pengundi tidak hadir dan pengundi pos

6. Jawatankuasa pentadbiran

“Jawatankuasa pentadbiran secara asasnya melihat SPR sebagai badannya tersendiri. Ia merupakan ketetapan, semak dan imbang kami sendiri tentang sama ada kami mahu mempunyai ombudsman , atau sama ada kami mahu sebuah institusi untuk memantau tindakan kami.

“Ini merupakan kategori terakhir, yang juga sangat penting,” katanya.

Ombudsman merujuk kepada pegawai yang ditugaskan mewakili kepentingan umum dengan menyiasat dan menghadapi aduan salah tadbir atau pelanggaran hak-hak. Pegawai-pegawai ini biasanya dilantik oleh pemerintah atau parlimen.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button