Isu SemasaTempatan

Pemberi Rasuah Dan ‘Ikan Besar’ Tidak Akan Terlepas

Pemberi rasuah dan ‘ikan-ikan besar’ tidak akan terlepas memandangkan kerajaan sedang memperkasakan lagi usaha memerangi rasuah di dalam negara.

Tindakan keras akan diambil ke atas pemberi rasuah di bawah Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang bakal dikuatkuasakan pada bulan Jun 2020 nanti.

Di bawah peruntukan ini, syarikat-syarikat yang terlibat dalam rasuah akan dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai rasuah itu, atau RM1 juta, mana satu yang lebih tinggi, atau hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 17A(3) juga memperuntukkan bahawa sekiranya kesalahan itu dilakukan oleh sebuah syarikat komersil, pengarahnya, pengawal, pegawai, rakan kongsi, dan individu-individu yang menguruskan hal ehwalnya ketika pelakuan kesalahan tersebut, ia akan dianggap telah melakukan kesalahan gagal untuk mencegah rasuah.

Individu-individu terbabit kemudian harus membuktikan bahawa kesalahan tersebut dilakukan tanpa pengetahuan atau penglibatannya.

Selain itu, mereka juga perlu membuktikan bahawa mereka telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang pelakuan kesalahan itu.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruh Jaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, undang-undang liabiliti korporat itu akan memberi kuasa yang lebih kepada SPRM untuk mencegah rasuah.

“Ya, kita akan memburu ikan besar dan pesalah berulang menggunakan peruntukan ini dan ia juga merupakan peralatan pendidikan yang bagus untuk menyampaikan ‘mesej’ ini.

“Tetapi individu-individu yang ditawar rasuah, terutamanya penjawat awam, harus melaporkan kes ketika kesalahan itu dilakukan.

“Sekiranya berdiam diri, ia seolah-olah mereka telah melakukan kesalahan dan tidak mahu tampil ke hadapan (untuk membuat laporan),” kata kepada New Straits Times.

Tegas Shamsun, alasan-alasan seperti “tiada pilihan” atau “kami hanya melakukannya kerana diarah oleh pihak atasan” ketika menandatangani sebarang perjanjian, tidak boleh diterima memandangkan semua penjawat awam sudah mempunyai garis panduan tentang perkara yang patut dilakukan dan tidak patut dilakukan dalam kod tatatertib mereka.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah, yang menggesa SPRM untuk mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah memandangkan mereka adalah pencetus dalam kes rasuah membabitkan penjawat awam.

Borhan turut mendedahkan statistik yang menunjukkan bahawa 46.3% daripada 4,860 individu yang ditahan oleh SPRM dari 2014 sehingga bulan Jun tahun ini adalah penjawat awam.

Dalam pada itu, sebuah kajian yang dilakukan oleh SPRM sendiri mendapati bahawa 22.1% responden dalam sektor awam mengakui mereka sanggup menerima rasuah sekiranya berkuasa dalam kerajaan.

Sumber: New Straits Times

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button