Sukan

2 Hari Lagi Harimau Malaya Bertemu Sang Garuda

Ramai peminat Harimau Malaya tidak senang duduk dengan perlawanan yang dijadualkan pada hari Khamis ini di Stadiun Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta.

“Semua tahu berkunjung ke Jakarta bukannya mudah. Tetapi setakat ini keseluruhan pasukan nampak baik, pemain bersedia, bersatu untuk cuba dapatkan keputusan positif.

“Kita tahu Indonesia ada persiapan rapi dengan kemasukan pemain naturalisasi yang boleh membantu mereka. Namun kita ke sana dengan satu matlamat dan perlu fokus setiap perlawanan.

“Media sosial selalu menceritakan perang psikologi tetapi saya selalu ingatkan pemain yang mereka kena fokus kepada pasukan dan permainan sendiri.

“Lebih baik fokus kepada pasukan kita dan bukannya fokus kepada pasukan lawan,” kata Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kepada BeritaHarian.

Sebelum itu salah seorang pemain Pahang ditemubual Utusan berkongsi pendiriannya.

“Satu kelebihan buat Indonesia memiliki pemain-pemain yang berpengalaman beraksi dalam Liga Malaysia (termasuk Andik Vermanshah, Ferdinand Sinaga dan Evan Dimas).

“Bagaimanapun kami ha­nya fokus kepada permainan dan buat yang terbaik untuk dapatkan mata penuh,” kata Azam sebelum sesi latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang diperkatakan tiada istilah ‘rakan’ diberikan oleh Nor Azam Azih kepada Saddil Ramdani apabila masing-masing mendukung cabaran Malaysia dan Indonesia dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe juga mengakui, Saddil mungkin dapat me­nyalurkan beberapa maklumat mengenai pemain Malaysia khususnya Pahang kepada pengendali Garuda, Simon McMenemy.

“Semangat Indonesia (pa­sukan dan penyokong) apabila melawan kita memang lain macam. Saya rasa perlawanan kali ini sengit.

“Saddil mungkin dedahkan kekuatan dan kekurangan kita kepada jurulatihnya. Kami datang dengan misi berhati-hati dan tidak boleh buat sebarang kesilapan besar yang mungkin dibolosi awal. Pasukan kena fokus sejak minit awal lagi.

“Dalam bola sepak dan apabila turun ke perlawanan, kita boleh mengatasinya dengan persediaan keyakinan dan kerja sepasukan,” kata Cheng Hoe.

“Nasihat saya kepada pasukan negara ialah jangan sebab emosional, kita hilang fokus.

“Kempen kelayakan ini dan perlawanan pertama cukup penting, terutama kita bertandang ke gelanggang lawan.

“Pemain-pemain pun tahu corak permainan Indonesia sejak 10 tahun lalu terutama tentang provokasi lawan dan penyokongnya”.

Menurut BHarian, pertama kali Malaysia bertembung di GBK ialah pada 10 Januari 2003 pada aksi Piala Tiger 2002 yang kini dikenali sebagai Piala AFF.

Ketika itu Malaysia tewas 1-0 hasil jaringan Bambang Pamungkas. Rekod pertemuan di GBK sebenarnya tidak memihak kita. Malaysia hanya menang sekali sahaja dengan keputusan 2-1 pada Piala Tiger 2004 di peringkat separuh akhir namun sebaliknya tewas pula di Stadium KLFA dengan keputusan 4-1 sekali gus menggagalkan usaha Malaysia layak ke perlawanan akhir tahun itu.

Secara keseluruhannya, rekod Malaysia ketika bertandang di GBK adalah satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan. Satu dari kekalahan itu adalah yang paling diingati kerana biarpun kalah 2-1 tetapi Malaysia muncul sebagai juara Piala AFF Suzuki 2010 hasil kejayaan membenam Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelumnya.

Hero Malaysia dan watak paling penting ketika itu adalah Safee Sali. Dia menjaringkan dua gol di Bukit Jalil dan menjaringkan gol pendahuluan Malaysia di GBK hingga mendiamkan puluhan ribuan penyokong di sana hingga kelihatan ada yang mengalirkan air mata kerana tidak percaya apa yang berlaku.

Namun itulah indahnya bola sepak. Air mata kesedihan dan kegembiraan sentiasa mewarnai dunia bola sepak. Bola sepak itu keseronokan. Bola sepak itu semangat dan bola sepak itu seharusnya menyatukan kita semua pencinta bola sepak.

Perlawanan akhir Piala AFF 2010 di GBK itu jugalah buat pertama kalinya pemain Malaysia terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda ke stadium atas faktor keselamatan.

Ternyata, fanatiknya penyokong bola sepak di sana. Harapnya, ia tidak harus berlaku lagi kerana peminat sentiasa berfikir yang bola sepak itu adalah menyatukan bukannya permusuhan. “Rival but not the enemy” tulis Faizan Mazni Mahmood, Penyokong Harimau Malaya.

 

Sumber Imej Terencana: kompasiana.com

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button