AntarabangsaIsu Semasa

Rakyat Saudi Gagal Tepis Penjajahan Budaya Turki

Hampir setahun telah berlalu sejak ejen Saudi membunuh kolumnis yang berpangkalan di AS, Jamal Khashoggi di konsulat kerajaan di Istanbul, namun hubungan kedua-dua negara masih dingin.

Arab Saudi menuding jari kepada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan kerajaannya. Turki menafikan dakwaan Saudi dan mendedahkan butiran pembunuhan yang mengerikan tersebut.

Namun di sebalik konflik itu, pengaruh budaya Turki masih bertahan di Arab Saudi dan menentang penularannya kelihatan semakin sukar. Turki cuba untuk mendapatkan pengaruh yang lebih besar di dunia Arab dan mereka memenangi hati rakyat Saudi dengan drama TV dan resort tepi pantai.

Ramai rakyat Saudi terus menonton drama TV Turki yang diharamkan di kebanyakan saluran Saudi dan menjamu selera di restoran yang menawarkan gril dan pastri yang turut dipaparkan dalam siri kegemaran mereka. Mereka turut membeli pakaian Turki, lilin wangian dan permaidani.

Mereka juga masih melancong ke pusat peranginan Turki, tanpa menghiraukan berita utama di akhbar-akhbar Saudi yang memberi amaran tentang penculikan dan pembunuhan.

Beberapa pengunjung berkata mereka pergi kerana kedutaan mereka masih dibuka di Ankara dan tidak ada larangan rasmi. Jika larangan adalah rasmi seperti yang dilakukan oleh kerajaan terhadap perjalanan ke Lubnan, mereka akan mematuhinya.

Arab Saudi, tempat kelahiran Islam dan pengeksport minyak terbesar di dunia dan Turki, kuasa ketenteraan terbesar NATO selepas A.S., telah berhadapan dengan beberapa perbezaan pandangan dalam krisis yang berlaku di Timur Tengah.

Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman telah menjalankan dasar asing yang lebih tegas, melancarkan kempen pengeboman melawan pemberontak Yaman dan memboikot Qatar. Sementara itu, Erdogan sedang berusaha untuk memasukkan ciri-ciri pemerintahan Uthmaniyyah dalam pengaruh tradisional Turki.

Turki pernah menjadi tempat operasi bagi Ikhwanul Muslimin, yang kini diharamkan oleh kerajaan dan diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas. Pemerintah di Ankara juga tidak menghiraukan larangan Qatar untuk tidak mengeksport produk makanan dan tenusu ke negara-negara Teluk.

Sekarang taktik Turki termasuk mencuba untuk mempengaruhi rakyat Saudi secara halus, seperti melalui drama TV Turki dan memberi sokongan kepada pelancongan di Trabzon, lapor akhbar Saudi Okaz pada bulan ini.

“Mereka tidak boleh menyekat TV, penerbangan, pertukaran budaya dan pengaruh halus. Melalui medium budaya mereka secara beransur-ansur mendapat pengaruh di Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain,” kata Kamran Bokhari, pengarah di Pusat Dasar Global di Washington.

Tahun lepas, hampir 750,000 rakyat Saudi melawat Turki, meningkat 15 peratus berbanding tahun 2017, menurut kementerian pelancongan Turki. Pada tahun 2011, ketika musim Pemberontakan Arab bermula, jumlahnya kurang daripada 120,000.

Mohammed, seorang guru dari Riyadh, berkata beliau merancang untuk menghabiskan 48 hari di sebuah apartmen yang dibelinya tiga tahun lalu di Trabzon. Dia berkata penerbangan terus yang diperkenalkan dalam beberapa tahun terakhir telah membuat perjalanan lebih murah.

“Saya tidak menyesal melabur di sini. Ia selamat untuk wanita dalam keluarga saya untuk keluar. Saya tidak perlu risau jika mereka akan dinganggu kerana cara mereka berpakaian dan mereka tidak akan dimalukan,” kata Mohammed kepada Bloomberg.

Ditanya sama ada dia bimbang tentang ketegangan politik antara Turki dan Arab Saudi, Mohammed mengangkat bahu: “Tidak ada negara di dunia yang dapat memberikan apa yang ditawarkan oleh Turki kepada kami.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close