AntarabangsaIsu Semasa

Tindakan India Melumpuhkan Industri Pelancongan Kashmir

Kashmir berpecah antara India dan Pakistan di penghujung penjajahan British pada tahun 1947. Ia merupakan sebuah destinasi percutian antarabangsa yang popular sehinggalah pemberontakan bersenjata menentang pemerintahan India meletus pada tahun 1989.

Konflik yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa itu, telah menyekat usaha untuk mempromosikan pelancongan Kashmir yang terkenal dengan jolokan “Switzerland Timur”.

Dengan pemandangan yang menakjubkan, kawasan pergunungan yang dilitupi salji dan tasik yang tenang, Kashmir adalah destinasi popular bagi gerombolan pelancong domestik dan antarabangsa semasa musim panas di seluruh India.

Tetapi pihak berkuasa pada awal bulan Ogos lalu menyeru para pelancong untuk segera meninggalkan Kashmir atas “ancaman keganasan”, mencetuskan pengusiran besar-besaran hanya beberapa hari sebelum keputusan kontroversi New Delhi untuk membawa wilayah yang dilanda keganasan itu di bawah pemerintahannya.

Jalan-jalan yang sibuk dengan penduduk tempatan dan pelancong kini banyak ditinggalkan. Kawasan Kashmir kini dipenuhi gegelung dawai berduri, pusat pemeriksaan keselamatan dan puluhan ribu tentera tambahan New Delhi dihantar ke rantau Himalaya itu.

Pihak berkuasa memotong semua komunikasi termasuk talian internet dan telefon, membuatkan hubungan dengan dunia luar sangat sukar.

Related image

Ketibaan pelancong di Kashmir telah terjejas dan menurun selama bertahun-tahun selaras dengan skala pemberontakan.

Menurut angka rasmi kerajaan, jumlah kemasukan pelancong jatuh lebih daripada 1.3 juta pada 2012 kepada 850,000 pada 2018.

Tetapi lebih daripada setengah juta orang melawat lembah itu dalam tujuh bulan pertama tahun ini, dengan lebih daripada 150,000 pelancong tiba bulan lepas sahaja, menurut data rasmi.

Di samping itu, kira-kira 340,000 pelancong agama melawat lembah itu pada bulan Julai untuk melakukan ziarah sebelum ia dibatalkan kerana dakwaan keganasan.

Beberapa hari kemudian, lembah itu sepi. Hanya 150 pelancong asing telah melawat Kashmir sejak 5 Ogos selepas New Delhi membatalkan autonominya.

Penurunan mendadak ini menyebabkan kejutan kepada industri pelancongan Kashmir yang bernilai US$ 500 juta (RM2.1 bilion) dan melibatkan kira-kira 100,000 orang.

Ramai penduduk Kashmir hidup dari sektor yang berkaitan pelancongan termasuk kraf tangan, hortikultur dan pengangkutan.

Kerajaan India telah menegaskan bahawa membawa Kashmir di bawah pemerintahannya secara langsung akan meningkatkan ekonomi dan menjana lebih banyak pekerjaan dan pembangunan.

Namun penduduk tempatan ragu-ragu, mengatakan bahawa “ancaman keganasan” yang diwujudkan oleh India telah menakutkan pelancong-pelancong asing.

“Ia adalah satu pembohongan. Tiada siapa yang akan membahayakan jemaah penziarah Hindu. Mereka mahu membatalkan autonomi dan menggunakan keganasan sebagai ancaman palsu,” kata pemilik rumah kapal, Basheer kepada AFP.

Ini bukan kali pertama sektor pelancongan Kashmir mengalami gangguan besar, paling baru pada 2008, 2010 dan 2016 apabila protes berskala besar berlaku.

Tetapi dengan krisis semasa yang dilihat tidak berpenghujung, penduduk bimbang ia akan meminimumkan kedatangan pelawat untuk tempoh yang lama.

Sesetengah negara telah mengeluarkan nasihat supaya mengelakkan perjalanan ke rantau ini dan pengendali pelancong takut beribu-ribu pekerjaan hilang, melemahkan ekonomi dan ketegangan yang lebih tinggi.

“Apabila perniagaan merosot dan hak asasi dicabuli, anda tidak boleh mengharapkan kami tetap berdiam diri,” kata pemilik kedai kraftangan, Sameer Wani kepada AFP.

Show More

Related Articles

Back to top button