Sukan

Masalah Dalam Kelab Jangan Dibawa Bersama Dalam Skuad Harimau Malaya

Alkisah senario bola sepak di negara kita tidak asing dengan cerita-cerita tidak puas hati, masalah gaji, masalah pemain dan banyak lagi.

Namun ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe menyarankan pemain-pemain yang telah dipilih dibawah skuad Harimau Malaya untuk melupakan masalah yang dihadapi oleh kelab masing-masing dan beri tumpuan kepada skuad negara untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bermula awal bulan depan.

Menerusi AstroAwani, Tan Cheng Hoe mengakui ada mendengar beberapa permasalahan melibatkan beberapa pemain termasuk penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dengan Perak.

Namun beliau menuntut mereka melupakan seketika perkara berkenaan kerana Malaysia bakal berdepan cabaran getir tiga seteru ASEAN iaitu Thailand, Indonesia dan Vietnam selain pasukan Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan G pusingan kelayakan.

Khabar angin bertiup sejak semalam bahawa penyerang Perak, Muhammad Shahrel Fikri Fauzi tawar hati bermain dengan pasukan itu sampai ke telinga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini.

Dakwaan tersebut mula tular di media sosial apabila Shahrel Fikri sendiri memadamkan gambarnya ketika menyarung jersi Perak di dalam media sosial Instagram miliknya.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, beliau mahu berjumpa dengan Shahrel Fikri atau lebih mesra dipanggil Eki itu bagi mendapatkan penjelasan sebenar pemain yang kini bermain untuk negara sebagai penyerang berbisa.

Sebagai rekod, Shahrel Fikri jarang diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama dan dia hanya bermain sebagai pemain gantian kira-kira 10 minit sebelum tamat perlawanan.

Ini kerana Ketua Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic dilihat lebih gemar menurunkan pemain import dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva bagi mengetuai jentera serangan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata beliau masih menilai kesebelasan utama yang akan diturunkan untuk aksi pemanas badan menentang pasukan ranking ke-99 dunia, Jordan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Cheng Hoe menjelaskan, fokus latihan sebelum menghadapi Jordan lebih tertumpu mencari keserasian pemain dan mempertajamkan taktikal skuad kebangsaan, sambil memaklumkan beberapa pemain muda yang dipanggil pada sesi latihan kali ini turut mempamerkan komitmen terbaik.

Ditanya mengenai status pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh, katanya, pemain naturalisasi kelahiran Gambia itu sah tidak diturunkan pada perlawanan Jumaat ini susulan masalah kecederaan pangkal yang masih membelenggu pemain Pahang berkenaan.

Pada perlawanan Jumaat ini, kapten pasukan Perak, Shahrul Mohd Saad akan mengetuai barisan pertahanan skuad Harimau Malaya tanpa adanya pemain senior, Aidil Zaquan Abdul Radzak.

Kapten pasukan Perak itu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Badak’ dalam kalangan rakan sepasukan, menegaskan beliau bersedia memberikan aksi terbaik walaupun ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim itu yang tidak disenaraikan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam senarai 27 pemain pada sesi latihan pusat kali ini.

“Aidil merupakan seorang pemain yang baik, dan saya harap pengalaman bersama Aidil sebelum ini dapat membantu saya dan rakan-rakan lain pada perlawanan menentang Jordan dan perlawanan pusingan kelayakan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum bermulanya sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya di Padang Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong.

Berbeza pula dengan misi pemain tengah kebangsaan, Muhammad Hadin Azman yang bersedia merebut tempat dalam kesebelasan utama selepas dibelenggu kecederaan yang menyaksikan beliau digugurkan dari skuad negara.
“Saya agak terkejut juga mendapat panggilan daripada penolong jurulatih (M. Balachandran) tempoh hari bahawa saya terpilih pada kali ini.

“Mungkin disebabkan prestasi semasa saya bersama Felda United menyebabkan saya dipanggil bersama skuad kebangsaan pada kali ini,” jelas kapten Felda United itu.

Pada masa yang sama, Muhammad Hadin bertekad untuk memperbaiki prestasinya dalam usaha membantu skuad Harimau Malaya meraih keputusan positif pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Untuk rekod, kali terakhir pemain berusia 25 tahun itu beraksi bersama skuad kebangsaan adalah pada Kejohanan Empat Negara Piala Airmarine 2019 pada Mac lepas yang menyaksikan Malaysia menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Afghanistan 2-1 pada penentuan ketiga/keempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button