AntarabangsaIsu Semasa

Australia Lindung Universiti Tempatan Daripada Campur Tangan Asing

Menteri Pendidikan Australia, Dan Tehan dalam satu kenyataan pada hari ini berkata bahawa universiti-universiti di negara itu perlu bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan untuk berlindung daripada campur tangan pihak asing.

Memetik laporan Reuters, pelajar-pelajar asing menyumbang kira-kira A$35 bilion (RM99.5 bilion) setahun kepada ekonomi Australia, di mana pelajar China membentuk 1/3 daripada jumlah keseluruhan itu.

Tetapi selepas beberapa siri serangan siber dan kebimbangan campur tangan China ke atas penyelidikan dan pelajar, Tehan mencadangkan penubuhan jawatankuasa perwakilan universiti dan agensi keselamatan.

“Universiti merupakan sasaran yang ‘menarik’ berikutan penyelidikan susulan penyelidikannya dalam pelbagai bidang dan harta intelek yang dihasilkan oleh penyelidikan itu,” kata Tehan dalam satu ucapan di Canberra.

Tambah beliau, jawatankuasa itu akan memastikan universiti-universiti di Australia akan memiliki pertahanan siber yang mencukupi.

Beberapa bulan lepas, Australian National University berkata bahawa penggodam, pada tahun 2018, telah menceroboh pertahanan sibernya untuk mencuri data-data sensitif, termasuk nombor akaun bank dan maklumat pasport pelajar.

Walau bagaimanapun, kerajaan Australia masih belum berjaya mengenal pasti dalang di sebalik serangan siber itu.

Dalam pada itu, jawatankuasa berkenaan juga akan memastikan penyelidikan akademik dan pelajar universiti bebas daripada sebarang pengaruh asing.

Australia pada bulan ini turut menghentikan sebuah program pendidikan tajaan China yang mengajar bahasa Mandarin di beberapa buah universiti, kerana bimbang akan kewujudan pengaruh asing.

Hubungan di antara Australia dan China semakin tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan kebimbangan Australia tentang kegiatan China di negara itu serta rantau Pasifik.

Pada tahun 2017, bekas Perdana Menteri, Malcolm Turnbull menuduh Beijing campur tangan dalam hal ehwal Canberra, namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh China.

Ketegangan di antara kedua-dua negara bertambah buruk pada minggu ini susulan pengesahan tangkapan seorang penulis Australia kelahiran China kerana disyaki melakukan pengintipan.

Sumber: The Star- Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close