Isu SemasaTempatan

Mengenang Jasa Tentera Bersara Kita Berlawan Demi Malaysia Tanpa Mengira Bangsa & Agama

Membaca dan mengenang kembali cerita orang terdahulu dan sekarang jauh bezanya kemakmuran yang mereka alami walaupun halangan utama mereka merupakan musuh dari luar seperti serangan komunis ke atas rakyat Malaysia.

Namun melihat keadaan sekarang, musuh yang ada di Malaysia ini kelihatan berada di kalangan kita sendiri. Perang siber dengan komen tanpa budi bahasa serta adab sopan berkata-kata berleluasa di internet. Hati dan perasaan setiap insan sudah seperti tidak dihiraukan lagi.

Membaca artikel terdahulu terbitan Kosmo serta TheStar tentang kisah Mej bersara Lee Ah Pow PGB (Bersara), yang juga pernah menerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) telah menunjukkan betapa eratnya orang terdahulu tanpa mengira bangsa.

Masih segar lagi memori datuk kepada lapan orang cucu itu apabila diminta bercerita keadaan penduduk di Tanah Melayu sebelum ia mencapai kemerdekaan pertama pada 31 Ogos 1957.

Dibesarkan di sebuah kampung di Rompin Bahau, Gemas, Negeri Sembilan, Mej bersara Lee Ah Pow PGB (Bersara), 76, begitu teruja menceritakan zaman kanak-kanaknya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu memberitahu, kampungnya dihuni kira-kira 300 penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Sumber Imej : youtube

“Masa itu saya masih kecil, kami hidup bermasyarakat.

“Saya sendiri ada lima hingga enam kawan Melayu dan India dan tiga hingga empat orang sahaja kawan Cina. Tiada kawan lain lagi kerana semua orang sibuk bertani dan menoreh,” katanya yang lahir pada tahun 1937.

Namun, hubungan erat yang terjalin antara kaum pada zamannya dahulu sukar dilihat pada masa kini. Generasi kini pada pandangan beliau suka melakukan hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

“Dahulu hidup susah. Bapa saya datang ke Tanah Melayu dengan beberapa saudaranya pada tahun 1910 dan menjadi ketua persatuan orang Cina di Rompin.

“Ketika kecil, saya melihat komunis minta wang daripada petani. Kami orang kampung mana ada apa-apa. Jika tiada wang, mereka minta makanan,” ujarnya sambil memberitahu, siapa yang enggan membantu komunis akan dibunuh.

Masih terbayang-bayang di minda Ah Pow apabila melihat saudara-saudaranya semua habis dibunuh komunis dengan kejam sekali kerana mereka dituduh anti komunis.

Namun, tiada apa-apa yang boleh dilakukan olehnya dalam usia yang masih mentah iaitu dalam lingkungan usia tujuh hingga sembilan tahun.

“Sangat sedih apabila melihat penoreh getah diikat pada pokok getah, dirobek perutnya hingga terkeluar isi perut gara-gara tidak memberi bantuan makanan kepada komunis.

“Kejadian itulah yang membuatkan saya berkobar-kobar mahu menjadi tentera untuk membalas dendam di atas perbuatan kejam mereka,” ceritanya penuh bersemangat.

Menurut Ah Pow, beliau bernasib baik kerana ketika itu, Maktab Tentera Diraja (RMC) membuka tawaran kepada budak-budak sekolah sekali gus dapat menunaikan hasratnya untuk menjadi tentera.

Mula diterima masuk RMC pada tahun 1953, Ah Pow bertekad tidak akan mempersia-siakan peluang yang diberikan hingga berjaya menamatkan pengajian dan latihan pada tahun 1958.

Tetapi dalam perkongsian beliau kepada TheStar telah menceritakan kembali beliau hampir dibuang oleh ayahnya sendiri kerana memasuki maktab tersebut.

Beliau yang merupakan satu-satunya anak lelaki dari enam adik beradiknya sebenarnya tidak memberitahu ayahnya tentang kemasukannya ke RMC dan telah meniru tandatangan ayahnya dalam Bahasa Cina. Beliau telah membuat cerita bahawa dia telah melanjutkan pelajarannya tetapi bukan di RMC.

Ayahnya hanya tahu tentang dirinya telah memasuki RMC setelah salah seorang orang kampungnya terlihat dirinya berpakaian seragam dan melaporkan kepada sang ayah.

“Ayah saya datang jauh dari Rompin ke Port Dickson untuk berhadapan dengan saya. Apabila dia jumpa saya, dia terus jerit “Keluar sekarang!”

Saya berkata “Tidak boleh, saya sudah pun mendaftarkan diri saya” dan dia pun berpaling daripada saya dan berkata “Jangan balik”.

Untuk dua tahun berikutnya Ah Pow tidak berani untuk pulang ke kampung menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga sehinggalah tahun ketiga dia memberanikan diri untuk pulang. Namun seperti mana-mana bapa, akhirnya beliau dimaafkan dan mereka berbaik.

Pada tahun 1958 akhirnya Ah Poe berjaya menamatkan pengajian dan latihan pada tahun 1958.

Ketika Tunku Abdul Rahman mengumumkan kemerdekaan buat Tanah Melayu, Ah Pow memberitahu, hatinya gembira bukan kepalang walaupun pada ketika itu dia sibuk menguruskan tetamu kenamaan dari luar negara sempena hari bersejarah tersebut.

“Saya bertugas sebagai pegawai protokol ketika itu di bawah Muhammad Ghazali Shafie (Menteri Dalam Negeri) yang bertanggungjawab merangka program keselamatan buat tetamu kenamaan.

“Siapa yang tidak gembira apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan. Kita bebas daripada penjajah dan anasir luar yang menghuru-harakan negara,” katanya yang pernah berkhidmat di Congo dan membantu pasukan pertahanan negara menghadapi konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963.

Ah Pow dikurniakan Pingat Gagah Berani (PGB) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1964. Momen itu memberikan kepuasan dalam dirinya sepanjang berkhidmat dengan ATM.

Mejar bersara ini juga menerima penghargaan daripada PBB berikutan jasanya sebagai ketua pasukan pengaman selain menerima Pingat Khidmat Bakti, Pingat Peringatan Malaysia dan Pingat Perkhidmatan Awam.

Dia yang bersara pada usia 38 tahun bersyukur dengan elaun yang diterima selepas mendapat pingat PGB bagi menyara sisa-sisa usianya bersama isteri tercinta, Alice Tan.

Ditanya mengenai pendapatnya terhadap anak-anak muda kini yang lebih suka menyuarakan ketidakpuasan hati melalui protes jalanan, Ah Pow memberitahu bahawa semua itu berlaku kerana mereka terlalu bebas, tidak tahu menilai sesuatu perkara dan emosional apabila bertindak.

“Apa yang mereka mahukan lagi? Saya sudah pergi banyak tempat di luar negeri dan yang paling aman ialah negara kita, Malaysia. Lihat sahaja negara Asia seperti India dan China rakyatnya susah, malah kerja pun susah.

“Generasi kini, kurang menghargai nilai kemerdekaan seperti kami dahulu kerana mereka tidak lalui kepayahan pada zaman komunis, konfrontasi dan sebagainya. Mereka tidak melalui kesusahan dan penderitaan generasi terdahulu,” luahnya sedikit terkilan tetapi pada masa yang sama memuji usaha kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada Kosmo.

Walaupun PLKN kini sudah tidak diteruskan lagi, namun ia telah digantikan dengan program baharu “Sekolah Pemimpin Masa Hadapan” (Malaysia Future Leaders School-MFLS) yang bertujuan untuk menanamkan kepimpinan berkualiti dan nilai-nilai murni di dalam diri belia.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close