Sukan

Adakah Malaysia Sudah Bersedia Untuk Aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023?

Hanya tinggal kira-kira sembilan hari lagi sebelum Harimau Malaya perlu beraksi menentang pasukan bola sepak Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno. Adakah pasukan Malaysia sudah bersedia?

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, aksi perlawanan persahabatan pada Jumaat ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil akan menjadi medan terbaik bagi mengukur persediaan skuad Malaysia pada aksi pembukaan kumpulan G, 5 September ini..

“Kita tahu pasukan Jordan ini adalah satu pasukan baik, jadi kita hendak tengok sejauh mana mereka (pemain Harimau Malaya) mampu bersaing dengan Jordan. Saya ingat selepas aksi menentang Jordan, kita dapat menilai tahap (persediaan) pemain untuk menghadapi Indonesia,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff yang merupakan pengurus skuad bola sepak kebangsaan, menjelaskan kemenangan ke atas Indonesia di tempat lawan bakal menyuntik semangat pemain skuad Harimau Malaya untuk memburu keputusan sama apabila berdepan dengan Thailand dan Vietnam selepas ini.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan pemain untuk tidak memandang mudah kesemua lawan dalam Kumpulan G termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan satu-satunya negara Asia Barat turut diundi bersama Malaysia.

Apatah lagi salah satu tonggak pasukan negara, Mohamadou Sumareh sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan di pangkal paha.

Pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe berharap pemain kelahiran Gambia itu mampu pulih sebelum aksi pertama pasukan Harimau Malaya menentang Merah Putih.

“Saya harap dia akan pulih dalam masa singkat. Kita tahu Sumarah akan beri satu impak kepada pasukan,” katanya kepada HarianMetro semasa sesi latihan hari kedua skuad Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.

“Saya rasa mana-mana pertandingan pun, perlawanan pertama amat penting kerana ia memberi satu motivasi untuk pasukan dan keyakinan diri.

“Sudah tentu bertandang di Indonesia bermain di Gelora Bung Karno bukan kerja mudah, tetapi kalau pemain dapat cepat sesuaikan diri dengan suasana dan tekanan, kita perlu fokus kepada perlawanan dan tak boleh terlalu beremosi.

“Tiap-tiap kali main dengan Indonesia, mana-mana negara jiran kita terlalu emosi. Itu boleh menyebabkan kita hilang fokus dan kita takkan dapat keputusan positif,” kata Cheng Ho.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff juga telah memaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia telah mendapatkan kerjasama daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi menjamin keselamatan pemain dan pegawai skuad Harimau Malaya sepanjang berada di Jakarta nanti.

Beliau turut mengingatkan pemain skuad Harimau Malaya untuk menjaga tingkah laku dan mengikut peraturan di Indonesia sepanjang berada di negara berkenaan.

Selepas aksi menentang Indonesia, Malaysia bakal melayan kunjungan UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.

Menurut Bernama, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan 27 pemain untuk menjalani sesi latihan pusat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sejak Ahad lepas.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button