MalaysiaPolitik

Sayangi Malaysiaku: Di Mana Semangat Patriotik Bangsa Malaysia?

Dalam masa kurang daripada seminggu, kita akan menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-62 tetapi tidak seperti tahun lepas, kegembiraan rakyat terhadap kerajaan baru yang digelar “Malaysia Baru” telah hilang.

Setahun telah berlalu sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya, namun tidak banyak yang menunjukkan bahawa kita telah menjadi sebuah negara yang lebih baik dari segi perpaduan dan keharmonian.

Sebaliknya, isu-isu yang mengancam struktur negara ini telah menjadi lebih jelas, seperti yang dilihat setiap hari di media sosial.

Retorik perkauman dan agama tetap menjadi isu yang paling memecahbelahkan, sama seperti ketika di bawah pentadbiran enam dekad yang lalu. Tetapi dengan media yang jauh lebih bebas hari ini, isu-isu ini semakin terserlah untuk menghasut permusuhan dan ancaman keganasan yang melampau.

Pada 14 Ogos, seorang lelaki mengancam untuk memenggal kepala peguam Syahredzan Johan kerana mendesak penarikan balik status penduduk tetap pendakwah kontroversi Zakir Naik di Malaysia. Pengawal keselamatan berusia 28 tahun itu telah ditangkap dan sedang ditahan reman.

Berikutan provokasi sedemikian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyediakan hotline e-mel dan WhatsApp untuk membuat aduan terhadap mereka yang menghina bangsa, agama atau institusi kerajaan.

Sungguh tragis bahawa ketidakpercayaan di kalangan kaum yang berlainan semakin meningkat walaupun selepas 62 tahun kemerdekaan. Malaysia kini lebih terasing dengan komuniti yang berbeza yang mempunyai sedikit interaksi atau empati terhadap satu sama lain.

Dalam kegembiraan yang berlaku selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya tahun lepas, harapan telah dibangkitkan menerusi “Malaysia Baru” untuk membina semula negara ke arah masyarakat yang lebih progresif dan saksama.

Wawasan baru, Kemakmuran Bersama 2030, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Mei untuk menandakan tahun pertama Pakatan Harapan berkuasa, bertujuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang adil, mampan, dan inklusif; memupuk perpaduan; meraikan kepelbagaian budaya; dan mewujudkan standard hidup yang baik bagi semua rakyat Malaysia.

Tetapi peristiwa dan isu sejak beberapa bulan kebelakangan ini, seperti langkah memperkenalkan kaligrafi khat, penentangan oleh kumpulan pendidikan Cina Dong Zong, bantahan terhadap pendakwah Islam kontroversi Dr Zakir Naik dan rancangan kerajaan Selangor untuk membenarkan satu ibu bapa secara unilateral menukarkan anak kepada Islam, telah menunjukkan bahawa kerajaan baru tidak jauh berbeza dengan Barisan Nasional dalam hal-hal yang berkaitan dengan bangsa dan agama.

Dengan Umno dan PAS bekerjasama dalam menyemarakkan isu perkauman dan sokongan yang semakin menurun untuk Pakatan Harapan dalam kalangan Melayu, kerajaan telah memimpin dengan sangat hati-hati.

Pada bulan April, kerajaan menarik balik Statut Rom, selepas ribut protes dari Umno, PAS dan NGO Melayu yang mendakwa bahawa perjanjian yang meliputi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) akan menjejaskan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Tahun lepas, kerajaan turut berundur daripada menyetujui Konvensyen Antarabangsa untuk Penghapusan semua bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) selepas protes yang sama.

Bulan Ogos yang sepatutnya disemai dengan semangat patriotisme tidak seharusnya dicemarkan dengan isu-isu perkauman. Turut tular ialah isu bendera terbalik yang mungkin sengaja dilakukan untuk menyemarakkan lagi api perbalahan.

Selepas enam dekad, kita seharusnya sedar bahawa retorik bangsa dan agama ini tidak akan menolong Malaysia untuk mendongak semula. Dan tidak akan ada masa yang lebih baik bagi kita untuk mengukuhkan semangat bersatu melainkan dalam bulan kemerdekaan negara.

Siapa yang tidak mengetahui sejarah pasti akan mengulangi kesilapan sama namun, selagi kita belajar daripadanya, kita sepatutnya dapat mencorakkan masa depan yang lebih baik untuk negara dan bangsa.

Sama-sama kita amati kata-kata dari Bapa Kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman: “Setiap orang harus menghormati hak dan perasaan masing-masing, bertoleransi terhadap setiap agama, adat dan budaya masing-masing, kerana dalam diversiti kita dapat mencari perpaduan yang sebenar. Di negara tercinta ini, kita sebenarnya sebuah negara bersatu “.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button