Gaya HidupKesihatan

Mengapa Ada Yang Mengalami Alahan Terhadap Makanan Laut?

Memiliki alahan terhadap makanan laut bukanlah sesuatu yang pelik kerana dianggarkan bahawa 1 peratus daripada populasi manusia menghidapi alahan terhadap makanan laut.

Ia lebih biasa terjadi kepada individu yang sudah menjangkau usia remaja dan dewasa berbanding kanak-kanak.

Dalam kebanyakan kes, 20 peratus daripada golongan ini akan mula menunjukkan simptom-simptom ini seiring dengan perjalanan usia.

Ia juga sangat biasa terjadi kepada individu yang mendiami kawasan yang menjadikan makanan laut sebagai diet utama mereka seperti di Asia dan Scandinavia.

Apakah simptom-simptomnya?

Kebanyakan reaksi alahan terhadap makanan laut adalah ringan, namun juga boleh menjadi teruk jika tidak dirawat dengan kadar segera. Jika berlaku, ia akan menyebabkan ruam pada badan (urticaria), bengkak pada badan (angioedema) dan/atau sakit perut (diarrhoea).

Selain itu, ia juga akan menyebabkan sakit pada tekak dan kerongkok. Lebih berbahaya, ia juga akan mengakibatkan masalah pernafasan dan penurunan tekanan darah secara drastik. Kondisi ini dikenali sebagai anaphylaxis dan boleh mendatangkan maut jika tidak dirawat dengan kadar segera.

Apakah yang menyebabkannya?

Kebanyakan kita mempercayai bahawa jika ada individu yang mengalami alahan terhadap makanan laut, ia adalah disebabkan oleh iodin.

Sebenarnya, ia bukan begitu. Alahan ini terjadi disebabkan oleh kandungan protein yang terdapat di dalam makanan laut tersebut.

Mereka yang mengalami alahan makanan laut tidak berisiko mengalami reaksi sepertimana individu yang mengalami alahan iodin (seperti alahan terhadap antiseptik Betadine dan Povidine). Begitu juga sebaliknya.

Kumpulan makanan laut yang boleh mengakibatkan alahan:

  • Vertebra (yang mempunyai tulang belakang)

Ia terdiri daripada pelbagai jenis ikan termasuklah ikan bilis, salmon, kod, makerel, trout, haddock, sardin, tuna, belut, John Dorry dan lain-lain.

  • Invertebra (yang tidak mempunyai tulang belakang)

Ia terdiri daripada kerangan dan mempunyai dua jenis. Pertama, jenis krustasea termasuklah udang, ketam, lobster dan yabbies. Kedua, jenis moluska termasuklah tiram, kerang, sotong, abalone, calamari dan lain-lain.

Walaupun kedua-dua ikan dan kerangan adalah hidupan akuatik yang hidup di tempat yang sama, alergen protein antara keduanya adalah berbeza antara satu sama lain. Ini bermakna seseorang individu itu mungkin akan mengalami alahan terhadap satu jenis hidupan sahaja.

Kebiasaannya, mereka yang mengalami alahan kepada satu jenis ikan turut mengalami reaksi yang sama terhadap ikan yang lain. Begitu juga halnya dengan mereka yang mengalami alahan terhadap kerangan.

Jadi, apa yang anda boleh lakukan jika anda adalah salah seorang daripada mereka yang mengalami alahan terhadap makanan laut adalah cuba elakkan memakan makanan-makanan ini secara total.

Adakah ia disebabkan oleh keturunan?

Ada kepercayaan mendakwa bahawa ia adalah disebabkan keturunan. Adakah ia fakta atau mitos?

Kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai alahan terhadap sesuatu jenis makanan tidak semestinya mempunyai ibu bapa dengan masalah yang sama. Maksudnya di sini adalah ia bukan berlaku atas faktor keturunan semata-mata.

Pun begitu, jika dalam satu keluarga itu ada anak anda yang mempunyai sesuatu jenis alahan makanan, kemungkinan untuk adik-beradik mereka turut mempunyai masalah yang sama adalah lebih tinggi.

Jika anda pernah menjalankan ujian perubatan terhadap anak yang disyaki mempunyai masalah ini dan keputusannya adalah negatif, jangan terlalu yakin dan selesa.

Ini kerana masalah alahan makanan ini mungkin akan muncul seiring dengan usia mereka. Jika keputusannya positif pula, kadangkala ia juga boleh jadi kurang tepat atau relevan. Istilahnya yang lebih tepat adalah ‘false positive’.

Jadi, cuba perhatikan terlebih dahulu sama ada anak anda benar-benar mengalaminya dengan melihat jika terdapat sebarang perubahan ketika makan sesuatu jenis makanan.

Lakukan ujian alahan makanan

Jika anda risau masalah ini berlaku kepada anda atau anak anda, segera berjumpa doktor untuk lakukan diagnosis.

Pertama sekali, doktor anda bertanyakan kepada anda beberapa soalan penting untuk merungkai apa sebenarnya punca alahan itu sama ada makanan, ubatan atau terdedah terhadap gigitan serangga.

Pendekatan ini juga akan menepikan segala kondisi yang seringkali disalah ertikan sebagai alahan makanan. Ujian alahan terhadap kulit dan darah atau IgE spesifik akan membantu memastikan punca sebenarnya. Walaupun begitu, anda tidak boleh bergantung 100 peratus terhadap keputusannya dan sama ada ringan atau teruk.

Selain itu, agak penting juga untuk anda mencuba setiap spesies makanan laut untuk ujian kulit dan darah. Dengan ini, anda mungkin akan dapat tahu lebih tepat dan terperinci mengenai spesies mana yang akan menyebabkan alahan kepada anda.

Apa yang anda boleh lakukan?

Sekiranya ujian alahan makanan yang anda lakukan itu positif terhadap makanan laut, maka anda perlu lakukan beberapa perkara untuk mengelakkan alahan itu menjadi lebih teruk dan menjejaskan kesihatan anda.

Paling penting, cuba untuk elak dari terdedah makanan laut secara total, walaupun ia agak sukar. Pendedahan secara tidak sengaja lebih mudah berlaku jika anda makan di luar, terutamanya di restoran yang menunya banyak menghidangkan hidupan akuatik sebagai sajian utama.

Menurut Hellodoktor, apa yang anda boleh lakukan adalah elakkan perkara-perkara berikut:

  • Segala piring, pinggan atau mangkuk yang menghidangkan makanan laut
  • Makanan yang berasal dari benua Asia kerana ia banyak menggunakan kerangan sebagai bahan penambah perasa
  • Makanan yang dimasak bersama makanan laut dalam kuali dengan minyak yang sama.
  • Makanan yang dijual di kedai yang ada menghidangkan pelbagai makanan laut
  • Piza komersial kerana proses pembuatannya mungkin telah tercampur dengan bahan yang boleh mendatangkan alahan
  • Barbeku yang menghidangkan campuran makanan darat dan laut
  • Salad caesar dan sos worcestershire kerana ia mengandungi bahan yang boleh mendatangkan alahan
  • Bir dan wain kerana ia mungkin mengandungi bahan yang diperbuat daripada organ dalaman ikan

Sebaiknya, anda perlu berjumpa dengan doktor atau pakar perubatan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan dengan lebih lanjut.

keselamatan makanan

Merkuri dalam makanan laut berbahaya?

Kebiasaannya, merkuri ditemui dalam produk kecantikan kulit wajah wanita. Pun begitu, tahukah anda bahawa merkuri juga boleh sebenarnya ada dalam makanan laut?

Bagi kebanyakan individu, tahap merkuri yang terkandung dalam ikan dan kerang-kerangan bukanlah satu kebimbangan kesihatan memandangkan makanan laut secara umumnya adalah makanan yang sihat.

Pengambilannya mengikut kuantiti yang sesuai setiap hari akan menyediakan anda dengan protein berkualiti tinggi dan nutrien serta mineral penting lain. Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa makanan laut adalah rendah lemak tepu dan tinggi asid lemak omega-3.

Namun begitu, pengambilannya yang terlalu banyak pula akan menyebabkan tahap merkuri yang tinggi dalam badan. Ia sangat berbahaya buat janin atau kanak-kanak kerana tahap merkuri yang tinggi boleh merosakkan otak dan sistem saraf mereka.

Dalam kebimbangan mengenai merkuri yang terkandung dalam ikan, Food and Drug Administration (FDA) dan Environmental Protection Agency (EPA) menyarankan bakal ibu, wanita hamil, ibu menyusu, dan kanak-kanak harus mengehadkan pengambilan makanan laut mereka.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button