Isu SemasaTempatan

Adakah TPM Boleh Jadi Pengganti Sekiranya Jawatan PM Dikosongkan?

Mengikut Perlembagaan, siapa sebenarnya yang layak untuk mengganti Perdana Menteri sekiranya jawatan tertinggi negara itu dikosongkan secara tiba-tiba, sebagai contoh jika seseorang Perdana Menteri itu meninggal dunia?

Persoalan ini pasti berlegar-legar di dalam fikiran ramai orang. Malah, mungkin ada yang berpandangan bahawa sekiranya jawatan tertinggi kerajaan itu dikosongkan, timbalannya akan menjadi pemangku.

Tetapi, tiada peruntukan di dalam Perlembagaan yang berkata sedemikian.

Menurut pakar Undang-undang Perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, senario yang menyaksikan kematian Perdana Menteri Malaysia ketika beliau masih memerintah pernah terjadi sekali sebelum ini.

Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein menghembuskan nafas terakhirnya pada 14 Januari 1976, ketika mendapatkan rawatan di London.

Sehari selepas pemergian Allahyarham, Timbalannya, Tun Hussein Onn telah dilantik menjadi pemimpin negara yang ketiga.

Namun Shad Saleem berkata, peralihan kuasa seperti itu mungkin tidak akan berlaku lagi sekiranya situasi sedemikian berulang.

“Ini adalah kerana Perlembagaan kita tidak bercakap tentang isu penggantian. Tidak seperti di Amerika Syarikat (AS), di mana penggantian digariskan secara jelas,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya Presiden AS meninggal dunia, Naib Presiden akan mengambil alih jawatan itu. Jika Naib Presiden meninggal dunia, Speaker Dewan Perwakilan yang akan menggantinya.

Tetapi di Malaysia, kita sebaliknya mengikut politik berbanding undang-undang apabila melakukan penggantian.

“Dalam erti kata lain, isu ini lebih kepada konvensyen berbanding undang-undang,” ujar Shad Saleem.

Beliau berkata, pelantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri pada tahun 1976 (selepas pemergian Tun Abdul Razak) dilakukan mengikut konvensyen, bukan undang-undang.

“Undang-undang agak berbeza kerana, mengikut pandangan peribadi saya tentang Perkara 43 (2), (3) dan (4), sekiranya seseorang Perdana Menteri itu sudah tiada, maka seluruh Kabinet juga akan terbubar,” katanya.

Tambah Shad Saleem, barisan Kabinet (Jemaah Menteri) ditentukan oleh Perdana Menteri dan sekiranya beliau meletak jawatan, diundi keluar, atau meninggal dunia, maka secara teknikalnya, menteri-menteri beliau juga tidak akan memegang jawatan tersebut lagi.

“Pada pandangan peribadi saya, idea bahawa Timbalan Perdana Menteri akan menjadi Perdana Menteri adalah tidak betul.

“Jawatan Timbalan Perdana Menteri juga tidak disebut di dalam Perlembagaan. Ia merupakan jawatan konvensional mengikut budi bicara penuh Perdana Menteri.

“Beliau (Perdana Menteri) tidak perlu melantik sesiapa pun sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya tidak setuju dengan pandangan bahawa Timbalan Perdana Menteri akan menjadi pemangku Perdana Menteri,” jelasnya.

Sumber: The Star – The Constitution, the law and the PM

Show More

Related Articles

Back to top button