Isu SemasaTempatan

Industri Aeroangkasa Mampu Wujudkan Lebih 32,000 Pekerjaan Berpendapatan Tinggi

Kerajaan Negeri Selangor mengenal pasti industri aeroangkasanya sebagai bahagian penting dalam pasaran global menjelang tahun 2030 dengan anggaran hasil tahunan bernilai RM55.2 bilion, serta mampu mewujudkan lebih daripada 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi di Selangor dan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari berkata, terdapat peluang yang cukup bagi graduan untuk meneroka industri aeroangkasa negeri itu, sama ada sebagai jurutera pesawat berlesen atau juruteknik penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Kami akan menjalinkan kerjasama dengan pusat latihan pendidikan. Kami tidak terhad kepada kolej sahaja. Ia mungkin akan menjadi perkongsian awam-awam dan perkongsian awam-swasta. Kedua-dua cara boleh.

“Mungkin akan ada inisiatif khas yang akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin pada hujung tahun ini. Kami (masih) lagi sedang memuktamadkannya di peringkat persekutuan dan negeri.

“Tetapi, masih terlalu awal untuk saya berkata apa-apa, namun kami sedang melakukan sesuatu,” katanya.

Hasan Azhari turut menyatakan bahawa kerajaan negeri telah melakukan pelbagai inisiatif memandangkan masih ramai orang tidak sedar tentang potensi industri aeroangkasa.

Jelas beliau, industri ini juga mempunyai impak besar dalam menambahbaik standard dan visi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Tetapi, pendedahan dan sebagainya masih lagi kurang,” katanya.

Dari segi berapa ramai graduan yang dijangka akan ditarik oleh kerajaan negeri, Hasan Azhari berkata bahawa Selangor masih belum melaksanakan kajian menyeluruh berkenaan perkara itu.

Mengulas tentang bagaimana aeroangkasa mampu menjadi sektor yang boleh difokuskan oleh Malaysia di tengah-tengah perang dagang di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, beliau menjelaskan bahawa kerajaan Selangor sedang mengambil peluang untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri aeroangkasa yang mantap.

“Kami sedang mengambil peluang ini untuk mengukuhkan kedudukan memandangkan Selangor sudah mempunyai industri seperti ini (aeroangkasa).

“Tempat lain seperti Singapura, sememangnya berada di hadapan, tetapi kos melakukannya menjadi semakin tinggi.

“Jadi, kami masih berpeluang untuk meminta sesetengah daripada mereka (industri) untuk berpindah ke sini,” jelasnya.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button