Isu SemasaTempatan

Apakah Punca Utama Permohonan Pinjaman Kediaman Ditolak?

Kerajaan persekutuan dan negeri telah memperkenalkan pelbagai skim kediaman mampu milik, tetapi masih terdapat ramai individu yang gagal mendapatkan pembiayaan daripada bank.

Apakah sebabnya?

Dalam hal ini, kedudukan kewangan individu yang tidak baik selalunya menjadi punca utama mengapa bank menolak permohonan pinjaman rumah.

Tahun lepas, hutang isi rumah Malaysia berada pada paras yang tinggi iaitu 83% atau RM1.18 trilion, di mana pinjaman perumahan membentuk 53.2% atau RM628 bilion daripada jumlah tersebut.

Penolakan pinjaman kediaman pula merekodkan hampir 60% pada tahun yang sama.

Menurut artikel yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan tahunannya pada 2017, bank selalunya akan menolak permohonan pinjaman rumah sekiranya peminjam mempunyai jumlah hutang yang tinggi dan mempunyai rekod kredit yang lemah.

Dalam pada itu, dokumen yang tidak lengkap juga menjadi salah satu sebab penolakan permohonan oleh bank.

Untuk memohon pinjaman kediaman, peminjam perlu memastikan bahawa komitmen sedia ada (seperti pembiayaan kenderaan dan pinjaman peribadi) tidak melebihi 1/3 daripada pendapatan bulanannya.

MENILAI KELAYAKAN

Pembeli rumah pertama selalunya layak untuk nisbah pinjaman kepada nilai (LTV), iaitu penilaian risiko yang digunakan bank sebelum meluluskan pinjaman sehingga 95%, manakala nisbah maksimum bagi peminjam yang sudah mempunyai tiga atau lebih pinjaman kediaman sedia ada pula ditetapkan pada 70%.

Bank juga boleh membiayai sehingga 90% daripada harga hartanah tersebut di mana pembeli perlu membayar 10% wang pendahuluan (down payment).

Tempoh pinjaman maksimum pula ditetapkan selama 35 tahun atau sehingga peminjam mencapai usia 70 tahun (mana yang berlaku dahulu).

Tetapi, apa sebenarnya yang menentukan kelayakan seseorang individu untuk mendapatkan pinjaman rumah?

Dalam menentukan kelayakan peminjam, bank akan melihat pendapatan bulanan, tingkah laku pembayaran, profil risiko individu, dan nisbah khidmat hutang peribadi.

Tingkah laku pembayaran dan risiko individu merujuk kepada sejarah kredit atau rekod pembayaran hutang, keupayaan untuk membayar hutang, modal, syarat pinjaman itu sendiri dan cagaran yang berkaitan.

Nisbah khidmat hutang pula merujuk kepada jumlah pendapatan peribadi yang digunakan untuk membayar hutang.

Ini dikira dengan membahagikan jumlah komitmen keseluruhan dengan pendapatan bersih dan mendarabkan jumlah itu dengan 100%.

Bagaimana nisbah ini dikira mungkin berbeza mengikut bank, sementara nisbah khidmat hutang maksimum yang dibenarkan oleh institusi kewangan juga berlainan.

MENGENALI BANK ANDA

Menurut panduan pengguna BNM, peminjam harus membandingkan kadar pinjaman berkesan – iaitu kadar indikatif tahunan bagi pinjaman kediaman standard bagi tempoh 30 tahun dengan jumlah pembiayaan RM350,000 tanpa tempoh lock-in – atau bank-bank berlainan sebelum membuat pinjaman baru.

Peminjam juga dinasihatkan untuk meminta lembaran pendedahan produk yang menyediakan kadar pinjaman berkesan dan jumlah pembayaran semula bagi pinjaman atau pembiayaan yang ingin dipohon.

Kemudian, peminjam juga digalakkan untuk bertanya institusi kewangan bagi menjelaskan faktor-faktor yang boleh membawa kepada perubahan dalam kadar asas memandangkan pembayaran bulanan akan meningkat atau berkurang apabila kadar asas berubah.

Penting juga untuk mengetahui bahawa pinjaman kediaman datang dalam kadar tetap atau konvensional.

Kadar tetap menjamin ansuran tetap sepanjang tempoh pembiayaan, dan menstabilkan serta memudahkan perancangan komitmen kewangan bulanan.

Kadar konvensional pula mempunyai kadar faedah dan keuntungan yang berubah-ubah bagi peminjam yang mahu memanfaatkan ciri-ciri seperti kemudahan overdraf.

Setakat bulan Jun tahun ini, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Public Bank Bhd mempunyai indikatif kadar pinjaman berkesan yang paling rendah, masing-masing pada paras 4.35%, diikuti Alliance Bank pada 4.36%.

Bagi institusi kewangan Islam pula, Maybank Islamic Bhd, Public Islamic Bank Bhd dan Alliance Islamic Bank Bhd masing-masing mempunyai kadar pinjaman berkesan terendah iaitu 4.35%, 4.35%, dan 4.36%.

Akhir sekali, cara terbaik untuk menentukan kelayakan anda adalah dengan menggunakan kalkulator kelayakan pinjaman kediaman yang disediakan oleh kebanyakan bank utama di Malaysia di laman sesawang mereka.

Peminjam prospektif juga boleh menggunakan platform pihak ketiga seperti Loan Care di iProperty.com.my yang membandingkan kelayakan peminjam daripada sehingga 17 bank.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button