Isu SemasaTempatan

Kaedah Alternatif Yang Anda Perlu Tahu Untuk Membeli Kediaman

Dalam pasaran hartanah Malaysia, unit kediaman yang tidak terjual merekodkan jumlah yang tinggi, dan ini berpunca daripada ketidakpadanan bekalan dan permintaan.

Apabila wujud permintaan pula, rumah dijual dengan harga yang tinggi sekali gus menyebabkan ramai orang tidak mampu membelinya.

Justeru, bakal pembeli perlu mencari kaedah alternatif untuk memiliki rumah mengikut kemampuan masing-masing.

PASARAN PRIMER

Rumah dalam pasaran primer atau underconstruction membabitkan pihak pemaju dan juga pihak pembeli.

Sebelum ini, bayaran wang pendahuluan (down payment) untuk membeli rumah baru ditetapkan pada kadar minimum 10%.

Tetapi kini, pihak pemaju menawarkan pelbagai diskaun dan pembeli juga boleh memiliki kediaman baru dengan bayaran kemasukan sifar (zero entry price).

Bukan itu sahaja, malah pemaju turut menawarkan rumah baru yang lengkap atau separa lengkap (fully or semi furnished).

Secara teknikalnya, pasaran primer merupakan kaedah yang paling murah untuk memiliki rumah memandangkan pembeli tidak memerlukan modal permulaan yang terlalu besar berbanding pasaran sekunder dan pasaran lelong.

Sementara itu, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 – yang dilanjutkan sehingga hujung tahun ini – bertujuan untuk menjadikan pembelian rumah dalam pasaran primer lebih mampu milik.

Di bawah HOC 2019, pembeli bagi rumah baru yang bernilai di bawah RM1 juta dikecualikan daripada membayar duti setem, manakala individu yang membeli rumah dengan RM 1 juta hingga RM2.5 juta perlu membayar 3% duti setem.

Pemaju hartanah yang terlibat dalam kempen ini juga dilaporkan harus memberi diskaun minimum 10% kepada pembeli, di mana terdapat juga segelintir pemaju yang menawarkan lebih banyak diskaun.

PASARAN SEKUNDER

Pasaran sekunder dianggap sebagai kaedah yang paling mahal untuk membeli rumah memandangkan pembeli harus membayar wang pendahuluan sebanyak 10% daripada harga keseluruhan rumah tersebut.

Rumah dalam pasaran sekunder turut dikenali sebagai rumah subsale (second hand).

Pasaran ini sesuai untuk individu yang mempunyai modal. Pembeli juga perlu membayar yuran guaman, duti setem, dan juga agen hartanah.

Dalam pada itu, adalah penting untuk melihat usia rumah subsale yang ingin dibeli memandangkan rumah-rumah lama memerlukan lebih banyak penyelenggaraan berbanding rumah baru.

Tetapi, membeli rumah dalam pasaran sekunder boleh menjadi lebih murah sekiranya rumah tersebut sudah direnovasi dan berada dalam keadaan baik.

Dalam situasi ini, pembeli tidak perlu mengeluarkan wang untuk kerja-kerja baik pulih atau renovasi.

PASARAN LELONG

Rumah lelong selalunya dijual sekurang-kurangnya 20% hingga 30% di bawah harga pasaran, dan ini merupakan salah satu pilihan yang paling murah dari segi harga rumah.

Pembeli yang berminat perlu membayar deposit 10% daripada harga rizab rumah yang dilelong itu dan kemudian memohon pembiayaan bank untuk baki 90% lagi.

Sekiranya pembida yang berjaya gagal mendapatkan pinjaman bank bagi rumah lelong, dia perlu membayar bakinya secara tunai.

Tetapi jika pembida yang berjaya itu juga gagal untuk membayar baki 90% itu dalam tempoh yang ditetapkan, deposit 10% yang telah dibayar akan terbatal atau ‘hangus’ begitu sahaja.

Di samping itu, bayaran tertunggak seperti yuran penyelenggaraan, caj utiliti, dan cukai tanah perlu diselesaikan oleh pembida yang berjaya kerana ia tidak selalunya ditanggung oleh bank.

Bagi pembida yang tidak berjaya, mereka boleh menuntut semula deposit di kaunter pendaftaran sejurus selepas lelongan itu tamat.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button