Isu SemasaTempatan

Facebook Malaysia Sasar Latih 1,000 PKS

Facebook Malaysia telah melancarkan fasa kedua program “Made by Malaysia, Loved by the World” bagi menawarkan latihan secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka boleh berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.

Fasa kedua ini akan dimulakan pada bulan September ini dan menyasarkan 1,000 PKS dari tujuh negeri di seluruh Malaysia seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Pahang, Perak, dan Johor.

Program yang membuat penampilan sulungnya pada tahun lepas dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Avana itu, akan dilancarkan dengan perkongsian baru bersama DHL Express (M) Sdn Bhd pada tahun ini.

Menurut pengarah Facebook Malaysia, Nicole Tan, syarikatnya sentiasa memberi sokongan kepada PKS memandangkan ia adalah enjin ekonomi negara.

“Kali ini, kami membawa masuk DHL kerana maklum balas yang kami terima. PKS mahu tahu lebih lanjut tentang logistik dan pembekalan.

“Seperti yang kita tahu, DHL sudah pun melaksanakan program-program yang bagus bersama PKS dan mereka akan menjadi pihak yang terbaik untuk mengongsikan pandangan global tentang pembelajaran logistik bersama PKS kami.

“Kami akan terus mendengar maklum balas PKS, terutamanya tentang perkara yang mereka ingin pelajari dengan membawa masuk lebih ramai rakan kongsi pada masa akan datang,” katanya kepada The Malaysian Reserve baru-baru ini.

Sebuah kaji selidik yang dilakukan oleh Facebook Malaysia mendapati bahawa 97% PKS mengetahui kepentingan Facebook dalam mempromosikan produk mereka secara digital, di mana 1 daripada 5 PKS mendagangkan produk dan perkhidmatan mereka di peringkat antarabangsa.

Fasa pertama program berkenaan telah berjaya melatih beberapa perniagaan PKS dan juga mewujudkan laman mikro khusus yang menempatkan sumber-sumber bagi mereka di Malaysia.

Tan menyatakan bahawa antara cabaran yang dihadapi oleh PKS adalah mendapatkan pelanggan sasaran dan mencapai arena global.

“Satu lagi perkara yang kami lihat dalam kalangan PKS dalam negara adalah mereka tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan penyelidikan seperti yang dilakukan oleh syarikat-syarikat besar.

“Jadi, salah satu perkara yang telah kami sertakan dalam program ini adalah cross-border insights finder, di mana PKS boleh mencari maklumat-maklumat yang diperlukan tentang kos dan potensi persaingan dalam pasaran.

“Kami juga mempunyai modul e-pelajaran pendek menerusi Pelan Tindakan (Blueprint) Facebook, yang merangkumi pembelajaran tersesuai bagi membantu PKS memperluaskan lagi perniagaan mereka di peringkat global,” jelas beliau.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button