AntarabangsaIsu SemasaSukan

E-Sukan Tawar Pendapatan Lumayan, Tetapi…

Hadiah wang terkumpul bagi kejohanan terkemuka The International 2019 (TI9) Dota 2 mencecah AS$33.5 juta (RM140.1 juta), sekali gus mencatatkan jumlah hadiah wang terkumpul yang terbanyak dalam sejarah e-Sukan.

Pemain-pemain profesional yang bertanding dalam kejohanan yang berlangsung di Shanghai itu bakal menjadi jutawan sekiranya berjaya muncul sebagai pemenang.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pemain yang mengalami masalah kesihatan kerana menjalani latihan yang agak ekstrem.

“Saya tidak bimbang sebelum ini, tetapi sekarang, saya rasa seolah-olah mata saya amat….Saya tidak boleh melihat dengan baik,” kata Evegenii “Blizzy” Ri, pemain berasal dari Kyrgyzstan yang merupakan anggota pasukan Natus Vincere (NAVI).

Menurut pemain berusia 24 tahun itu, doktor telah menggesa beliau untuk berehat selama enam bulan berikutan tahap penglihatannya yang semakin merosot.

Difahamkan, Ri telah mula bermain komputer sejak 10 tahun lalu lagi, dan beliau berlatih sehingga 12 jam sehari.

Beliau juga telah diminta untuk memakai kaca mata, namun Ri tidak berasa selesa untuk memakainya.

Namun tambahnya lagi, penglihatannya yang semakin merosot tidak menjejaskan prestasi permainannya kerana jarak skrin yang dekat.

Doktor turut meminta Ri untuk melakukan senaman mata yang mudah dengan mengerakkannya ke atas dan ke bawah, serta ke kiri dan ke kanan.

Tetapi, beliau mengaku tidak mengikut arahan doktor.

“Sebenarnya, dia (doktor) juga memberitahu saya untuk tidak bermain komputer selama enam bulan untuk mengembalikan semula penglihatan saya, tetapi saya tidak mengendahkannya. Saya perlu bermain,” ujar beliau.

Sementara itu, beberapa orang pemain di Shanghai mendedahkan bahawa masalah kesihatan yang selalu menimpa pemain profesional adalah sindrom Carpal Tunnel.

Antara simptom sindrom ini adalah rasa kebas dan mencucuk di bahagian jari ibu, telunjuk, tengah, dan manis.

Bagi beberapa kes yang sudah teruk, pesakit perlu menjalani pembedahan.

Malah, terdapat segelintir pemain yang mengalami kecederaan pergelangan tangan yang terlalu teruk dan juga masalah sakit belakang kerana duduk terlalu lama pada setiap hari.

“Saya pernah menjadi pemain dan saya telah mengalami masalah sakit lengan dan pergelangan tangan, jadi sekarang saya menjadi jurulatih kerana tidak mampu tahan,” kata Kurtis “Aui_2000” Ling, dari pasukan Newbee.

Ling berkata, e-Sukan juga kini baru sahaja mula untuk menghargai keperluan mendapatkan perkhidmatan ahli fisioterapi dan pakar-pakar kesihatan lain dalam aspek kesejahteraan fizikal dan mental, walaupun kebanyakan pasukan masih tidak mempunyainya.

Jelas beliau, kos yang tinggi menjadi penghalang utama dalam mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan.

Sementara itu, Roman Dvoryankin, pengurus besar pasukan Virtus.pro menyatakan bahawa pasukan-pasukan profesional sedang berusaha untuk mendidik para pemain cara untuk berehat, bersenam, dan meregang otot dengan betul.

Sumber: The Star – AFP Relaxnews

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button