AntarabangsaIsu Semasa

Qatar Tarik Semula Sokongan Terhadap China Berhubung Isu Uighur

Qatar baru-baru ini telah menarik semula tandatangannya daripada sepucuk surat yang ditandatangani oleh puluhan negara sebagai tanda sokongan terhadap rekod hak asasi manusia China, walaupun Beijing menerima kecaman antarabangsa berikutan tindakannya menempatkan kira-kira dua juta etnik Islam Uighur di kem tahanan.

Qatar telah memaklumkan keputusannya untuk menarik daripada surat yang ditandatangani oleh kebanyakan negara majoriti Islam itu kepada Presiden Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Coly Seck.

“Mengambil kira fokus kami untuk berkompromi dan mencari penyelesaian, kami percaya dengan mengesahkan surat tersebut secara bersama, ia akan mengkompromi keutamaan dasar luarĀ  kami.

“Dalam hal ini, kami ingin mengekalkan pendirian neutral dan kami menawarkan perkhidmatan kemudahan dan menjadi orang tengah (dalam menyelesaikan isu ini),” kata Duta Ali Al-Mansouri, Wakil Tetap Qatar ke PBB di Geneva.

Namun, masih tidak jelas apa sebenarnya yang menyebabkan perubahan hati ini. Qatar, pengeksport terbesar gas asli cecair terbesar di dunia, pasti merasa kesal untuk menjejaskan hubungannya dengan China.

Berdasarkan data yang dikumpul oleh Bloomberg, China merupakan rakan dagang terbesar Qatar pada tahun 2018, dengan rekod jumlah dagangan bernilai sekitar AS$13 bilion (RM54.3 bilion).

Difahamkan, sebanyak 37 negara, termasuk Arab Saudi dan Pakistan, telah menandatangani surat yang mempertahankan kerajaan China pimpinan Presiden Xi Jinping dan menolak dakwaan bahawa Beijing melakukan penindasan ke atas Uighur di wilayah Xinjiang.

Surat sokongan itu ditandatangani dan dihantar ke PBB selepas 22 buah negara (kebanyakannya negara Barat) secara bersama mengkritik dasar China terhadap Uighur.

Mereka turut menggesa Beijing untuk menamatkan penahanan secara besar-besaran dan menzahirkan kebimbangan terhadap “pengawasan dan sekatan secara meluas” yang dikenakan ke atas etnik minoriti itu.

Kem tahanan yang disifatkan oleh China sebagai “kem pendidikan semula” itu dilaporkan bertujuan untuk mengubah pemikiran politik tahanan, menghapuskan kepercayaan mereka terhadap agama Islam, serta membentuk semula identiti mereka.

Sementara itu, pelbagai pihak termasuk penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS), advokasi hak asasi manusia dan kumpulan agama, menggesa agar Beijing dikenakan sekatan.

Menurut Jabatan Negara AS, terdapat kira-kira dua juta warga Uighur yang ditahan di kem itu. Angka itu dipertikaikan oleh China, namun pada masa yang sama ia masih belum mendedahkan angka rasmi.

Kerajaan Xi mempertahankan dasar kontroversinya ke atas Uighur, di mana beliau berkata langkah itu diperlukan untuk “memerangi keganasan.”

Bukan itu sahaja, malah kerajaan China juga telah memasang sistem pengawasan canggih, daripada teknologi pengecaman wajah sehinggalah mewujudkan checkpoint pemeriksaan keselamatan di pasaran.

Sumber: Bloomberg – The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button