AntarabangsaIsu Semasa

Papua Dilanda Protes Ganas. Apa Puncanya?

Ketika sambutan Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos baru-baru ini, terdapat laporan yang mendakwa bahawa pelajar-pelajar Papua Barat yang menuntut di sebuah universiti di Surabaya membuang bendera kebangsaan Indonesia ke dalam pembetung.

Sebaik sahaja laporan tersebut mula tersebar, pihak berkuasa Indonesia dilaporkan telah menyerbu universiti berkenaan, membaling gas pemedih mata ke dalam dorm, dan menahan 43 orang, yang kebanyakannya adalah warga Papua.

Selepas itu, sekumpulan besar individu telah berkumpul di luar perkarangan universiti tersebut sambil melaungkan slogan-slogan anti-Papua Barat dan menyanyi lagu kebangsaan Indonesia.

Papua merupakan bekas jajahan Belanda di bahagian barat New Guinea. Ia mula digabungkan ke dalam Indonesia pada tahun 1969 menerusi sebuah referendum disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  yang disifatkan sebagai ‘palsu’.

Menurut peguam hak asasi manusia Indonesia, Veronica Koman yang telah mengongsikan video-video berhubung insiden di Surabaya yang menyaksikan tindakan keras oleh pihak berkuasa Indonesia, semua gambar dan video telah disahkan kesahihannya.

Dalam satu kenyataan, Koman berkata bahawa sebuah dorm bagi pelajar-pelajar Papua Barat telah “diserang menggunakan batu” oleh orang ramai yang melakukan serangan berbaur perkauman kepada mereka.

Selepas polis Indonesia menyerbu dorm tersebut, mereka telah mencampak gas pemedih mata dan menahan pelajar-pelajar di sana.

Namun, para pelajar yang ditahan menafikan tuduhan yang mendakwa bahawa mereka telah merosakkan bendera Indonesia dan tidak memberi kerjasama kepada pihak polis.

Ujar Koman, pelajar-pelajar tersebut juga tidak mendapat diberi makanan dan minuman selama kira-kira 24 jam.

Bukan itu sahaja, malah pihak berkuasa turut didakwa menahan dua individu yang cuba membawa makanan dan minuman untuk pelajar-pelajar itu pada jam 2 pagi.

PROTES BESAR-BESARAN TERCETUS

Beberapa hari kemudian, imej-imej yang menunjukkan kecederaan yang dialami oleh pelajar-pelajar Papua ketika berada di dalam tahanan telah tersebar luas di media sosial di seluruh Indonesia.

Hal ini sekali gus mencetuskan protes besar-besaran oleh warga Papua bagi membantah tindakan ganas polis ke atas pelajar-pelajar itu.

Dalam protes di Manokwari di Papua Barat, penunjuk perasaan telah membakar bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD), tayar, dan beberapa premis perniagaan.

Para pelajar universiti di Manokwari juga turun ke jalanan dan melaungkan “bebaskan Papua Barat” dan “kami bukan Merah Putih, kami adalah Bintang Pagi,” merujuk kepada warna bendera kebangsaan Indonesia dan Bintang Pagi, iaitu bendera yang digunakan oleh warga Papua bagi membantah pendudukan Indonesia dan melambangkan Papua yang merdeka.

Di bandar Raja Ampat pula, penunjuk perasaan berkumpul di ruang-ruang awam dengan membawa pembesar suara dan plakad.

Di Jayapura, bendera Indonesia di Pejabat Gabenor telah diturunkan dan senator-senator Papua Barat turut menyertai penunjuk perasaan untuk membantah rasisme dan keganasan polis.

Sementara itu, penunjuk perasaan juga merosakkan premis-premis di lapangan terbang dan bangunan kerajaan di Sorong.

BAGAIMANA KERAJAAN INDONESIA MENANGANI SITUASI INI?

Pada 19 Ogos, kerajaan Indonesia telah menyekat akses internet di seluruh Papua Barat dalam usaha menghentikan penyebaran penipuan atas talian.

Tetapi, aktivis-aktivis hak asasi manusia di Papua Barat dan Indonesia berkata bahawa sekatan itu merupakan cubaan kerajaan untuk menghalang penyebaran maklumat dalam kalangan warga Papua Barat dan bagi membolehkan naratif propaganda pro-Indonesia dan pro-kerajaan.

Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra dikenali sebagai “Jokowi” menyeru agar orang ramai bertenang dan saling bermaafan di antara satu sama lain.

“Saudara-saudaraku di Papua dan Papua Barat, saya tahu ada (dalam kalangan kamu) yang tersinggung. Oleh sebab itu, sebagai saudara sebangsa dan setanah air, perkara paling baik adalah saling memaafkan.

“Emosi itu boleh, tetapi memaafkan itu lebih baik. Sabar itu juga lebih baik,” kata beliau.

Namun begitu, kerajaan telah mengerahkan lebih daripada 1,000 anggota polis dan tentera ke Manokwari dan Sorong.

“Pengerahan lebih banyak pasukan keselamatan memburukkan lagi keadaan. Saya tidak boleh jangka apa yang akan berlaku kerana saya….tidak pernah melihat warga Papua Barat sangat marah,” kata Koman.

Walau bagaimanapun, jurucakap polis, Muhammad Iqbal menyatakan bahawa anggota keselamatan tidak dilengkapi dengan peluru hidup dan “keadaan terkawal.”

“Ia adalah perkara biasa bahawa jika insiden bertambah buruk, (pihak berkuasa) akan mengerahkan anggota tambahan,” jelasnya.

Tetapi Koman, pengerahan tentera berpotensi meningkatkan lagi ketegangan di kawasan tersebut.

“Ini meningkatkan lagi kemarahan Warga Papua. Saya bimbang jika keadaan akan hilang kawalan,” ujarnya.

Sumber: Indian Express, AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button