Gaya HidupKesihatan

Betul Ke Durian Belanda Mampu Mencegah Kanser?

Pokok durian belanda adalah merupakan tumbuhan yang berasal dari benua Amerika, Caribbean dan Afrika. Ia dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu ketika era penjajahan Barat.

Buah yang berduri ini mempunyai isi putih dan biji coklat bersaiz sederhana besar dengan keunikan rasa yang tersendiri. Ia telah ditanam secara komersial dan meluas di Asia untuk dijadikan pelbagai produk makanan dan minuman.

Buah ini dikatakan berasal dari kumpulan Annona muricata. Ia mempunyai gen yang sama seperti cherimoya dan dari keluarga buah Annonaceae.

Keunikan buah ini bukan sahaja pada bentuknya, tetapi ia turut digambarkan sebagai buah yang unik berikutan rasanya yang dikatakan adalah dari gabungan buah strawberi dan epal bersama rasa masam-masam manis, yang berlawanan sekali dengan teksturnya yang berkrim.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh buah durian belanda ini termasuk mengandungi karbohidrat, fruktosa, amyloid, asid sitrik, manganese, sukrosa, reticuline, vitamin C, vitamin B1 dan vitamin B2.

Manfaat Kesihatan Durian Belanda

Setiap bahagian durian belanda didapati mempunyai kelebihan tersendiri. Daun durian belanda dapat membantu sakit kerongkong manakala akarnya dipercayai boleh membantu mengurangkan gejala kencing manis.

Minyak yang terhasil daripada daun atau buahnya yang masih muda sekiranya dicampurkan dengan minyak zaitun dapat digunakan untuk mengatasi masalah sakit sendi dan sengal-sengal badan.

Menurut tulisan Hellodoktor, kulit pokok ini dipercayai dapat membantu pesakit jantung, masalah batuk dan mungkin mengembalikan kesuburan pasangan yang sukar mendapatkan zuriat.

Selain itu, jus buah ini kini banyak dijual dalam bentuk tin dan kotak. Jus yang dihasilkan daripada buah durian belanda boleh diminum untuk membantu meredakan demam, membunuh cacing (masalah biasa bagi kanak-kanak) dan sebagai ubat cirit-birit.

Buah yang turut dikenali sebagai guanabana dan Brazilian paw paw ini turut digunakan oleh pengamal ubatan herba untuk merawat sakit perut, demam, jangkitan parasit, dan hipertensi.

Walaupun kebanyakan kajian yang dilakukan adalah terhad kepada kajian dalam tabung uji, beberapa kajian yang dilakukan mendapati bahawa buah durian berpotensi membantu menghilangkan sel-sel kanser.

Satu kajian tiub ujian merawat sel-sel kanser payudara dilakukan dengan ekstrak buah ini. Menariknya ia dapat mengurangkan saiz tumor, membunuh sel-sel kanser dan meningkatkan aktiviti sistem imun badan.

Satu lagi kajian tabung uji melihat kesan ekstrak durian belanda pada sel leukemia, dikatakan dapat menghentikan pertumbuhan dan pembentukan sel-sel kanser.

Tetapi benarkah ia boleh merawat kanser?

Walaupun terdapat kajian yang mencadangkan penggunaan buah ini untuk merawat kanser. Hakikatnya kajian tersebut tidak dijalankan atau diuji ke atas manusia, maka hasil keputusan kajian tidak dapat dibuktikan keselamatan atau keberkesanannya.

Disebabkan itu, pakar perubatan melarang dan memberi amaran untuk menggunakan buah ini sebagai alternatif merawat kanser.

Menurut Pengarah Klinikal Perubatan Naturopathic di sebuah hospital yang terletak di Atlanta, Dr Daniel Kellman, durian belanda telah dikaitkan dengan banyak tuntutan yang tidak berasas.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Medicinal Chemistry pada tahun 1997, mencadangkan sebatian durian belanda yang diuji pada sel-sel kanser payudara adalah lebih efektif daripada rawatan kemoterapi dalam memusnahkan sel-sel kanser. Namun, tanpa ujian klinikal, tiada data yang boleh menyokong cadangan tersebut.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button