Isu SemasaTempatan

Ramai Warga Hong Kong Beli Kediaman Mewah Di Malaysia Sejak Bulan Jun

Ramai penduduk Hong Kong dilaporkan telah membeli hartanah di Malaysia dengan nilai keseluruhan melebihi RM500 juta sejak tercetusnya konflik yang menyaksikan protes hampir setiap hari di bandar berautonomi itu.

Jutaan penduduk Hong Kong telah turun ke jalanan untuk membantah hakisan hak mereka seperti yang dijamin di bawah formula “satu negara, dua sistem” yang dipersetujui oleh Beijing.

Protes-protes yang bermula sejak dua bulan lalu telah menjejaskan kedudukan Hong Kong sebagai hub serantau kewangan utama.

Hong Kong berkembang maju ketika pemerintahan British, sekali gus menjadikan bandar itu sebagai kosmopolitan moden dan mempunyai ramai penduduk yang kaya.

Difahamkan, ini mencetuskan ‘iri hati’ tanah besar China.

Penduduk-penduduk Hong Kong yang kaya bimbang campur tangan Beijing yang semakin meningkat sejak bandar itu dipulangkan semula kepada China pada tahun 1997 akan menjejaskan kekayaan mereka.

Bukan itu sahaja, malah generasi muda di sana juga bimbang jika kebebasan mereka akan disekat oleh Beijing.

Menurut Bruce Lee, perunding hartanah VPC Asia Pasific, warga Hong Kong telah berebut untuk membeli hartanah mewah di Kuala Lumpur dan Johor.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, pembeli dari Hong Kong telah membeli sekurang-kurangnya 300 sehingga 500 unit hartanah dalam beberapa projek di Kuala Lumpur dan Johor sejak bulan Jun.

“Pelabur-pelabur Hong Kong telah melihat hartanah di Malaysia sebelum ini, tetapi sekarang, terdapat hanya pembeli tulen,” katanya.

Difahamkan, hartanah di Hong Kong merupakan antara yang termahal di dunia. Ia juga menjadi kawasan yang mempunyai penduduk paling padat berdasarkan saiz, sekali gus menggalakkan penduduknya untuk mencari kediaman di bandar-bandar lain.

Golongan profesional muda dari Hong Kong dilaporkan berhasrat untuk berpindah ke tempat lain di rantau ini, dan Malaysia menjadi salah satu lokasi pilihan.

Lee menjangkakan bahawa jumlah hartanah yang dijual kepada pembeli dari Hong Kong akan meningkat kepada “ribuan”.

“Terdapat lebih daripada 50,000 unit rumah yang tidak dijual di Malaysia, dan jika pembeli-pembeli Hong Kong merebut 3,000 kediaman, ia hanya akan membentuk 6% daripada jumlah keseluruhan itu.

“Tambahan pula, pembeli Hong Kong membeli hartanah yang bernilai lebih daripada RM1 juta,” jelas beliau sambil menambah bahawa pembeli tempatan tidak akan terjejas dengan situasi ini.

Dalam pada itu, warga asing juga dilaporkan tidak dibenarkan untuk memiliki hartanah yang bernilai kurang daripada RM1 juta, termasuk unit kediaman berkos rendah dan sederhana seperti yang ditakrifkan oleh kerajaan, hartanah di tanah rizab Melayu, dan unit-unit Bumiputera.

Namun, warga asing boleh memiliki rumah yang lebih murah di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Walau bagaimanapun, program itu mempunyai syarat-syarat ketat, di mana individu yang berusia di bawah 50 tahun wajib mempunyai sekurang-kurangnya RM500,000 dalam akaun simpanan, akaun semasa, atau akaun deposit tetap mereka, manakala individu berumur 50 tahun ke atas perlu memiliki jumlah minimum RM350,000 dalam akaun mereka.

Selain itu, protes yang berlaku di Hong Kong ini turut menyebabkan ramai penduduknya membeli kediaman mewah di Thailand.

Memetik laporan The Star, kira-kira 40% daripada sebuah kondominium 50 tingkat di Bangkok yang baru sahaja dibuka pada minggu lepas telah dijual kepada pembeli dari China, Hong Kong, Taiwan, dan Singapura, menurut Keerin Chutusmstid, eksekutif di Magnolia Quality Development Corp.

Menurut beliau, pelabur-pelabur dari China dan Hong Kong merupakan “pelanggan asing yang utama.”

“Protes tersebut memberi kelebihan kepada kami untuk projek ini. Jika anda lihat di Thailand sekarang, berbanding negara-negara lain, kami mempunyai tahap kestabilan politik yang baik,” kata Keerin.

Dalam pada itu, hartanah di Bangkok juga berjaya menarik minat ramai pelabur antarabangsa kerana walaupun selepas bertahun-tahun harga meningkat, ia masih lebih murah berbanding hartanah di bandar-bandar di negara lain seperti Jakarta (Indonesia), Kuala Lumpur (Malaysia), atau Ho Chi Minh City (Vietnam).

Kondominium baru di Chao Phraya River mempunyai 146 unit yang dikendalikan oleh Mandarin Oriental Hotel Group.

Harga unit bermula daripada 65 juta baht (RM8.7 juta) sehingga 533 juta baht (RM71.5 juta).

“Berbanding Hong Kong, (hartanah di sini) adalah lebih murah. Warga asing datang ke sini dan boleh lihat apa yang kami tawarkan tidak kurang daripada apa yang boleh didapati di New York, Hong Kong, atau Singapura,” ujar Keerin.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR), The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close