AntarabangsaIsu Semasa

Amerika Gesa India Pulihkan Keadaan Di Kashmir

Amerika Syarikat (AS) pada Selasa telah menggesa India untuk membebaskan tahanan dan mengembalikan semula kebebasan asas di Kashmir dalam usaha mengurangkan ketegangan di wilayah bergolak itu.

“Kami amat bimbang dengan laporan berlakunya penahanan, dan sekatan berterusan yang dikenakan ke atas penduduk di wilayah itu.

“Kami menggesa penghormatan hak asasi individu, pematuhan dengan prosedur undang-undang, dan juga dialog yang inklusif,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS, merujuk kepada kerajaan India.

Ketegangan di bahagian Kashmir yang ditadbir India semakin meningkat sejak status khasnya dimansuhkan pada 5 Ogos lalu.

Pihak berkuasa India turut menguatkuasakan sekatan keras komunikasi dan pergerakan. Difahamkan sekurang-kurangnya 4,000 orang telah ditahan sejak itu.

Memetik laporan AFP, Presiden Donald Trump juga telah menghubungi Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan untuk menggesa kedua-dua pihak mengurangkan tekanan di Kashmir.

Sementara itu, pegawai kanan Jabatan Negara itu turut menyatakan bahawa India perlu memulihkan semula keadaan di wilayah tersebut.

“Kami menyedari kebimbangan India, tetapi kami akan terus menggesanya untuk memulihkan semula keadaan menjadi normal di wilayah itu dengan segera,” tegasnya.

Washington juga telah menyeru India dan Pakistan, yang merupakan kuasa nuklear, untuk mengadakan dialog secara langsung bagi menyelesaikan pertikaian mereka ke atas Kashmir, yang mempunyai majoriti populasi Islam.

Trump juga telah menawarkan diri untuk memainkan peranan sebagai mediator atau ‘orang tengah’.

Menurut Trump, Modi telah meminta ‘perkhidmatannya’ itu, namun perkara tersebut dinafikan oleh kerajaan India.

Difahamkan, Pakistan dan India telah bertempur dalam tiga peperangan sejak tahun 1947, di mana dua daripadanya adalah berkaitan Kashmir.

Sumber: The Sun Daily – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button