Isu SemasaTempatan

Zakir Naik Dilarang Beri Ceramah Awam Di Seluruh Negara

Pihak berkuasa kini telah menghalang pendakwah Dr Zakir Naik daripada menyampaikan ceramah awam di semua negeri di Malaysia. Tindakan ini, kata polis, dilakukan demi kepentingan keselamatan negara.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Datuk Asmawati Ahmad mengesahkan arahan itu apabila dihubungi oleh Malay Mail.

“Ya, arahan sedemikian telah diberikan kepada semua kontinjen polis dan ini dilakukan demi kepentingan keselamatan negara dan untuk memelihara keharmonian kaum,” katanya kepada Malay Mail.

The Star pada Ahad lalu melaporkan bahawa Melaka telah menyertai enam negeri lain yang melarang Dr Zakir daripada berceramah secara terbuka. Enam negeri lain adalah Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Kedah, Pulau Pinang dan Johor menjadi negeri terbaharu untuk mengumumkan bantahan mereka terhadap ceramah agama Dr. Zakir kerana gaya dakwahnya yang dianggap keterlaluan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Datuk Md Rofiki A. Shamsudin dilaporkan berkata badan itu tidak pernah memberi kelulusan kepada Dr Zakir Naik untuk mengadakan ceramah di negeri itu.

“Mana-mana pendakwah agama harus mendapatkan kelulusan yang diperlukan dari JAIJ sebelum mereka dibenarkan melakukan ceramah agama. Ini adalah untuk memastikan para pendakwah ini tidak menyebarkan perkara yang bertentangan dengan kepercayaan atau aqidah kita,” katanya.

Di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata kerajaan negeri itu tidak akan mengalu-alukan Dr. Zakir untuk bercakap di mana-mana acara awam. Keputusan tersebut dibuat enam bulan lalu.

Ahmad Zakiyuddin dilaporkan telah memberitahu penceramah itu bahawa kandungan ceramah atau pandangannya “tidak sesuaiā€ untuk keadaan negeri Pulau Pinang yang sangat berbilang kaum.

“Apabila Zakir melawat kami, kami membincangkan beberapa perkara, termasuk hasratnya untuk mengadakan ceramah di Pulau Pinang. Tetapi kami segera memberitahu beliau bahawa kami merasakan ceramahnya adalah tidak sesuai,” katanya.

Pada hari Ahad, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa Dr Zakir telah melampaui batas apabila beliau memberitahu kaum Cina untuk “kembali ke negara asal” selain turtu mempersoalkan kesetiaan orang India-Malaysia.

Dr Mahathir juga berkata Dr Zakir telah menyalahgunakan keistimewaannya sebagai warga asing dengan status PR dengan mengeluarkan kenyataan politik dan mengatakan bahawa beliau menyokong penuh siasatan polis terhadap warganegara India terbabit.

Dr Zakir menimbulkan kemarahan ramai rakyat Malaysia termasuk kerajaan yang sebelum ini dilihat bersimpati terhadap pelarian itu, apabila beliau dikatakan mempersoalkan kesetiaan orang India-Malaysia dalam satu ceramah yang disampaikan di Kelantan minggu lalu.

Tidak lama selepas itu, pendakwah yang diburu oleh Kerajaan India itu mengeluarkan kenyataan yang ditujukan kepada orang Cina-Malaysia, mengatakan mereka harus “kembali ke negara asal” dahulu kerana mereka juga dilihat sebagai “pendatang”.

Dr Zakir berkata penegasan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap permintaan masyarakat yang meminta kerajaan menghantarnya pulang ke India, di mana pendakwah itu menghadapi tuduhan pengubahan wang haram dan melakukan keganasan.

Dr Zakir kini menghadapi siasatan polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dengan sengaja dengan mencetuskan pelanggaran keamanan selepas 115 aduan awam difailkan terhadapnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button