AntarabangsaIsu Semasa

Adakah Pelarian Rohingya Mahu Pulang Semula Ke Myanmar?

Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan pihak berkuasa Bangladesh melakukan kaji selidik membabitkan lebih daripada 3,000 pelarian etnik minoriti Islam Rohingya untuk mengetahui sama ada mereka mahu pulang semula ke Myanmar atau tidak.

Lebih daripada 730,000 warga Rohingya telah melarikan diri dari negeri Rakhine ke Bangladesh selepas operasi ketenteraan dilancarkan oleh tentera Myanmar pada Ogos 2017.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), operasi tersebut dilaksanakan dengan niat melakukan genosid (pembunuhan beramai-ramia) atau pembersihan etnik, dan ramai pelarian enggan pulang semula ke Myanmar kerana bimbang dengan keganasan yang berlaku.

Pihak berkuasa berkata, Myanmar telah meluluskan kepulangan 3,450 pelarian Rohingya daripada senarai yang mempunyai lebih 22,000 orang yang disediakan oleh Bangladesh.

“Kaji selidik ini bermula pada hari ini. Kerajaan Bangladesh bersama UNHCR akan meminta pelarian-pelarian tersebut untuk tampil dan membincangkan pilihan pemulangan,” kata Louise Donovan, jurucakap UNHCR di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh.

Donovan menyatakan bahawa UNHCR akan mengadakan temu bual sesi kedua bersama pelarian yang berhasrat untuk pulang semula ke Myanmar.

Tegasnya lagi, beliau juga akan memastikan sebarang keputusan yang dibuat oleh pelarian adalah secara sukarela.

“Mereka (pelarian) akan diminta untuk mengisi borang pemulangan secara sukarela,” ujarnya.

Dalam pada itu, pegawai kerajaan berkata bahawa temu bual itu akan turut dihadiri oleh wakil bantuan pelarian Bangladesh.

“Agensi pelarian PBB telah mula menemu bual (pelarian) Rohingya di dalam senarai tersebut,” kata Mohammad Abul Kalam,pesuruhjaya bantuan dan pemulangan pelarian Bangladesh.

“Pusat transit, fasiliti pengangkutan…semuanya sudah bersedia untuk memulakan repatriasi pada Khamis,” tambahnya.

Difahamkan, Majlis Keselamatan PBB dijadual untuk mengadakan perbincangan secara tertutup berhubung perancangan penghantaran semula pelarian di atas permintaan Belgium, Britain, Perancis, Jerman, dan Amerika Syarikat (AS).

Minggu lepas, jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay berkata, pegawai-pegawai kerajaan telah meneliti senarai pelarian tersebut untuk menentukan sama ada mereka pernah menetap di Myanmar dan terlibat di dalam serangan ke atas tentera atau tidak.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button