Isu SemasaTempatan

Adakah Pelaburan Emas Pilihan Yang Bagus Ketika Berlakunya Pergolakan Kewangan?

Majoriti rakyat Malaysia dilaporkan masih belum bersedia untuk bersara kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk menjalani kehidupan pasca persaraan.

Ramai orang pada masa ini juga memilih untuk melabur dalam pasaran-pasaran kewangan bagi memperoleh pendapatan tambahan dengan menggunakan wang simpanan mereka.

Trend ini sekali gus membawa kepada peningkatan perkhidmatan penasihat robo dan broker di atas talian untuk menyediakan akses kepada pasaran dengan lebih mudah dan murah.

Sementara itu, terdapat ramai juga orang yang dinasihati untuk membuat pelaburan emas. Tetapi, apakah peranan emas di dalam pengurusan kekayaan peribadi?

Menurut pengurus urusan dan sokongan teknologi Kenanga Futures Sdn Bhd, Chong Ming Wah, emas merupakan produk tanpa faedah, tetapi ia terbukti mampu menambah baik prestasi keseluruhan portfolio pelabur.

“Dalam portfolio pelaburan keseluruhan, di mana anda mempunyai pendapatan tetap, saham dan aset-aset lain, ia telah terbukti bahawa, dengan mempunyai sedikit pendedahan terhadap emas, ia meningkatkan pulangan diselaraskan risiko bagi portfolio itu secara keseluruhan,” katanya.

Justeru, beliau turut mencadangkan agar orang ramai melabur dalam emas memandangkan sifatnya yang ‘rare’ dan pengiktirafannya oleh dunia sebagai logam yang bernilai.

Bukan itu sahaja, malah bank-bank pusat di seluruh dunia juga membeli emas untuk meningkatkan rizab dan melindungi risiko.

Menurut Majlis Emas Dunia (WGC), permintaan emas mencecah paras tertinggi dalam tiga tahun sebanyak 2,181.7 tan pada separuh pertama 2019, di mana sebahagian besar didorong oleh pembelian yang dilakukan oleh bank pusat.

Amerika Syarikat (AS) mempunyai rizab emas yang tertinggi di dunia iaitu 8,133.5 tan, manakala Malaysia hanya memiliki 38.9 tan.

Dalam pada itu, emas juga dianggap sebagai aset yang selamat, terutamanya di tengah-tengah pergolakan dan ketidaktentuan pasaran yang tinggi.

Naib Presiden bahagian penyelidikan di Rakuten trade Sdn Bhd, Vincent Lau berkata, melabur dalam ekuiti terbukti mampu menjana pulangan positif dalam jangka masa panjang, dan emas juga bagus untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada portfolio itu.

“Emas sentiasa selamat dan pada waktu-waktu pergolakan, harganya akan berubah,” katanya.

CEO Pheim Asset Management Sdn Bhd, Leong Hoe Kit pula menyatakan bahawa emas mempunyai nilai simpanan yang bagus memandangkan ia selalunya akan menjana pulangan yang tinggi berbanding instrumen-instrumen pelaburan lain di tengah-tengah pergolakan kewangan.

“Ini adalah kerana instrumen pelaburan lain, termasuk wang tunai, sebenarnya mengalami kesusutan nilai berbanding emas, justeru menyebabkan nilai emas meningkat,” jelasnya.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button