Isu SemasaPolitikTempatan

PRK Kimanis: UMNO Sabah Sudah Kenal Pasti Beberapa Orang Calon Potensi

UMNO Sabah telah mengenal pasti beberapa orang calon potensi untuk bertanding jika berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kimanis yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Anifah Aman.

Minggu lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya dilaporkan telah mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Luar itu di kerusi Kimanis ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun lepas sebagai tidak sah dan terbatal.

Menurut Hakim, Lee Heng Chung, hasil siasatan mendapati bahawa wujud unsur manipulasi, termasuk penambahan 284 dan 57 undi di dua pusat mengundi yang dilakukan secara tidak sah, sekali gus melanggar undang-undang pilihan raya.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin menyatakan bahawa keputusan UMNO untuk bertanding bagi kerusi Kimanis telah diputuskan dalam satu pertemuan bersama jawatankuasa parti negeri.

“Kita telah mengenal pasti tiga calon dan kita akan membuat pilihan tidak lama lagi,” katanya.

Jelas Bung, calon yang akan dipilih nanti adalah seseorang yang boleh diterima oleh penduduk di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, UMNO Kimanis telah diminta untuk mengaktifkan jentera pilihan raya dengan segera di kesemua 19 pusat pengundian di sana.

Kesemua 25 bahagian UMNO di seluruh negeri juga sudah diarah untuk memulakan kerja sebagai persediaan menghadapi PRK.

“Ini adalah kerusi kami, kami akan berusaha keras untuk memenanginya semula,” katanya.

Bung juga berkata bahawa pihaknya berharap untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanahairku (Sabah STAR), sama seperti yang dilakukan ketika PRK Sandakan sebelum ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan di kerusi Kimanis sebagai batal dan tidak sah.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata bahawa buat masa ini, pihaknya perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh 14 hari untuk rayuan tamat bagi tindakan selanjutnya.

“SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya ia perlu diadakan.

Ujar beliau, berdasarkan keputusan tersebut, kerusi P.176 Kimanis sudah diisytiharkan kosong dan PRK hendaklah diadakan.

“Namun memandangkan pihak-pihak terlibat mempunyai hak untuk merayu, pilihan raya kecil hanya akan diadakan sekiranya tiada rayuan atau proses rayuan di Mahkamah Persekutuan telah selesai sepenuhnya.

“Di bawah peruntukan undang-undang, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan,” jelasnya.

Sumber: The Star, FMT, SabahKini2

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button