Isu SemasaTempatan

Perkongsian Kisah Pegawai Kanan Berbangsa Cina Paling Lama Berkhidmat Untuk ATM

Untuk lebih empat dekad, Mejar-Jeneral Datuk Toh Choon Siang telah berkhidmat untuk tanah air Malaysia.

Mej-Jen Toh merupakan pegawai kanan berbangsa Cina pertama paling lama berkhidmat iaitu selama 42 tahun, 9 bulan dan 8 hari apabila beliau bakal bersara pada 16 September akan datang ini.

Darah kesatria yang mengalir dalam diri beliau diwarisi daripada bapanya yang berkhidmat sebagai tentera udara British semasa Perang Dunia Kedua.

“Saya bersama-sama (Datuk Temenggong) Kanang anak Langkau serta pasukan pernah berbalas tembakan dengan komunis selama hampir 45 minit di kawasan Gunung Korbu, Perak,” kata Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Toh Choon Siang mengungkap kembali pengalaman getirnya dalam mempertahankan tanah air tercinta.

Menceritakan pengalamannya sewaktu berdepan musuh dalam mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi negara, beliau berkata tahap kejayaan mereka apabila dapat membunuh dan menangkap lebih ramai komunis.

“Kalau balik tangan kosong dianggap tidak berjaya, kalau saya kata tidak takut, itu bohonglah. Kejayaan kami dapat mengalahkan ideologi komunis, ia adalah kejayaan pasukan kami.

“Zaman itu, kejayaan mengusung keluar mayat komunis adalah suatu kejayaan bagi kami yang amat dibanggakan,” kata pejuang yang dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Pulau Pinang itu kepada Bernama.

Toh yang merupakan lepasan ijazah pengurusan di Australia pada 1992 dan memperoleh sarjana di UKM dalam jurusan pertahanan berpendapat usaha yang berterusan diperlukan untuk mengubah persepsi kerjaya dalam tentera khususnya bagi kaum Cina.

“Persatuan Veteran Cina ATM perlu berusaha meningkatkan publisiti dan memacu perekrutan seperti menyiarkan lebih banyak berita dalam akhbar Cina dan masuk ke kampung-kampung Cina untuk menjalankan promosi,” katanya.

Sebelum bersara beliau memimpin Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) di Kuching sebagai Panglima 1 Div dan banyak telah melakar sejarah kejayaan dengan kerjasama anggotanya.

Menurut UtusanBorneo, antara kejayaannya ialah menyelesaikan 97 kes termasuk Tangkapan Rampasan Ops Awas/Keris Parang dengan tangkapan 177 Pendatang Tanpa Izin (PATI) dengan nilai rampasan sebanyak RM1.2 juta.

Pihaknya turut mendapat pengiktirafan lima bintang bagi Audit Pengurusan Kewangan AIMS, Johan Kategori Pasukan Tempur UKMHK TD, Johan Kumpulan Triathlon Peringkat TD di Tanjung Bidara, Johan APITD Kategori Pengurusan Logistik.

1 Div juga muncul Johan Qari Saudara Muslim Tilawah Al-Quran peringkat ATM dan Naib Johan Qari Saudara Muslim Tilawah Al-Quran peringkat TD.

Toh yang akan bersara wajib berpesan kepada anak buahnya untuk meneruskan legasi 1 Div.

“Baru-baru ini Kementerian Pertahanan telah meluluskan kertas putih yang akan dirasmikan tidak lama lagi di peringkat persekutuan.

“Saya berharap dengan adanya kertas putih ini, Bumi Kenyalang akan diberi keutamaan dalam alatan, persenjataan dan keanggotaan,” katanya ketika berucap di Majlis Serah Terima Tugas Panglima 1 Divisyen di Kem Muara Tuang.

Beliau turut mengingatkan para anggota agar jangan leka dengan kejayaan dan pujian sebaliknya berusaha dengan lebih keras lagi.

“Pemimpin datang dan pergi tetapi semua anggota akan meneruskan perjuangan, kesetiaan yang tidak berbelah bagi dan sokongan harus diberikan kepada kepimpinan baharu kelak,” tambahnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button