AntarabangsaIsu Semasa

Idea Trump Untuk Beli Greenland “Tidak Masuk Akal”

Minggu lepas, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan telah menzahirkan minatnya untuk membeli Greenland.

Difahamkan, beberapa orang pegawai melihat cadangan itu sebagai satu jenaka, tetapi Trump sebaliknya dilihat serius sambil menjelaskan bahawa pembelian Greenland merupakan cara untuk memperluaskan wilayah AS.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen baru-baru ini menegaskan bahawa wilayah autonomi itu bukan untuk dijual, dan idea untuk menjualnya kepada AS adalah satu perkara yang “tidak masuk akal”.

“Greenland bukan untuk dijual. Greenland bukan Denmark. Greenland adalah milik Greenland. Saya berharap agar perkara tersebut (cadangan Trump) tidak serius,” katanya.

Memetik laporan Reuters, Trump pada Ahad mengesahkan bahawa beliau telah membincangkan kemungkinan untuk membeli Greenland, walaupun ia bukanlah keutamaan buat masa ini.

“Konsep itu timbul dan….secara strategiknya, ia menarik. (Tetapi), ia tidak menjadi keutamaan,” jelas ahli Republikan berkontroversi itu.

Trump dijadualkan untuk mengadakan lawatan ke Copenhagan, iaitu ibu negara Denmark pada awal bulan depan, di mana beliau juga akan bertemu dengan Frederiksen serta Perdana Menteri Greenland, Kim Kielsen.

Dalam pada itu, penasihat ekonomi Rumah Putih, Larry Kudlow turut mengesahkan bahawa Trump telah mengadakan perbincangan secara peribadi dengan penasihat-penasihatnya berhubung idea untuk membeli Greenland.

“Saya tidak mahu meramalkan hasilnya. Saya hanya kata bahawa presiden, yang mengetahui selok belok membeli hartanah, mahu melihat kepada pembelian Greenland,” kata Kudlow.

Menurutnya, bekas Presiden AS, Harry Truman juga pernah mencadangkan idea untuk membeli Greenland, dengan harga AS$100 juta (RM417 juta) pada tahun 1946.

“Denmark memiliki Greenland, Denmark merupakan sekutunya, Greenland ialah tempat yang strategik…dan ia memiliki banyak bahan mineral yang bernilai,” tambahnya.

Greenland, yang terletak di antara lautan Atlantik Utara dan Artik, bergantung kepada sokongan ekonomi dari Denmark.

Wilayah autonomi tersebut mengendalikan hal ehwal domestiknya sementara Denmark menjaga dasar luar dan pertahanannya.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button