AntarabangsaIsu Semasa

Parlimen Britain Tidak Boleh Menghalang Brexit?

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dijangka akan memberi tahu Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel bahawa Parlimen Westminster tidak boleh menghalang Brexit, dan sebuah perjanjian baru harus dipersetujui sekiranya Britain mengelak untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) tanpa sebarang perjanjian.

Bagi lawatan pertamanya ke luar negara sebagai pemimpin Britain, Johnson dijadualkan untuk bertemu dengan rakan-rakan sejawatannya di Eropah menjelang sidang kemuncak G7 pada 24-26 Ogos di Biarritz, Perancis.

Menurut sebuah sumber kerajaan, beliau akan memaklumkan bahawa Britain akan meninggalkan EU pada 31 Oktober ini, dengan atau tanpa perjanjian, dan parlimen negara itu tidak akan boleh menghalang langkah tersebut.

United Kingdom (UK) kini berdepan krisis perlembagaan dan ketegangan bersama EU memandangkan Johnson berulangkali berikrar untuk memastikan Britain meninggalkan blok itu pada 31 Oktober ini tanpa perjanjian melainkan ia bersetuju untuk melakukan perundingan semula.

Selepas lebih daripada tiga tahun isu Brexit mendominasi hal ehwal EU, blok tersebut enggan membuka semula perjanjian penarikan diri yang merangkumi dasar insurans Ireland yang dipersetujui oleh bekas Perdana Menteri, Theresa May pada November lalu.

Kini, Johnson menerima tekanan dari ramai ahli politik untuk menghalang daripada berlakunya penceraian Britain dari EU yang bercelaru.

Bukan itu sahaja, malah pemimpin pembangkang, Jeremy Corbyn turut berikrar untuk ‘menjatuhkan’ kerajaan pimpinan Johnson pada awal bulan September ini dalam usaha menangguhkan Brexit.

Namun, masih tidak jelas sama ada ahli-ahli parlimen Britain mempunyai kuasa untuk menghalang Brexit tanpa perjanjian pada 31 Oktober ini atau tidak.

Pihak-pihak yang membantah Brexit tanpa perjanjian berkata, langkah tersebut akan menjadi malapetaka bagi Britain, yang pernah menjadi salah satu demokrasi yang paling stabil di Barat pada suatu ketika dahulu.

Penceraian yang tidak teratur, berpotensi menjejaskan pertumbuhan global, pasaran kewangan, dan visi Britain untuk menjadi pusat kewangan terkemuka di dunia.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button