Hiburan

Bintang Senior Kembali Hangatkan Persaingan Top 5 ABPBH 32

Gabungan populariti, mutu produk, kisah sensasi dan kuasa media sosial terus mempengaruhi pemilihan barisan calon Top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Mencipta kejutan apabila bintang ‘senior’ kembali bersaing dengan wajah baharu dunia seni, senarai calon Top 5 kali ini mencerminkan kecenderungan peminat memilih artis yang bukan sekadar menyinar dalam lapangan diceburi, malah bijak meningkatkan potensi diri berdepan cabaran era digital.

Artis berpengalaman seperti Aishah, Erra Fazira, Delimawati (Kak Limah) dan Faizal Tahir memberi cabaran dalam kategori masing-masing, berdepan bakat baharu yang digelar BBNU.

Aishah yang digelar ‘The Living Legend’, dicalonkan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow bersama saingan jauh lebih muda iaitu Bintang Paling Popular ABPBH 31, Wany Hasrita; Siti Nordiana, Ara Johari dan Stacy.

Faizal pula bersaing dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow bersama Khai Bahar, Haqiem Rusli, Sufian Suhaimi dan Syafiq Farhain.

Bintang filem Hantu Kak Limah, Delimawati, tersenarai sebagai calon kategori Pelakon Filem Wanita Popular bersama Erra, Mira Filzah, Uqasha Senrose dan Hannah Delisha.

Populariti drama rantaian, Pujaan Hati Kanda dan Lelaki Kiriman Tuhan, terbukti memberi tuah kepada bintang utamanya, Remy Ishak dan Mira, apabila masing-masing dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki dan Wanita Popular Alha Alfa.

Mereka juga dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki dan Wanita Popular serta dua lagi pencalonan dalam kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular menerusi Rise Ini Kalilah.

Dengan tujuh pencalonan menerusi enam kategori, Mira Filzah muncul sebagai artis dengan jumlah pencalonan tertinggi termasuk Pengaraca TV Popular dan Artis Versatil Popular.

Siti Nordiana pula di tangga kedua dengan enam pencalonan, termasuk dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, Pengacara TV Popular, Artis Versatil Popular dan Lagu Paling Boom.

Edisi ke-32 ABPBH memperlihatkan usaha penambahbaikan secara menyeluruh bagi memantapkan lagi penganjuran anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.

Langkah paling drastik, sesuai dengan tema tahun ini, “Melangkaui Sempadan”, dua kategori baharu iaitu Artis Korea Popular dan Artis Indonesia Popular diperkenalkan dalam kategori utama sebagai lambang kematangan ABPBH, selain mengangkat acara anugerah ini ke peringkat antarabangsa.

Undian calon Top 5 ABPBH 32 akan bermula pada 20 Ogos ini di www.abpbh.com.my.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button