Isu SemasaTempatan

Pemindahan Ibu Negara Indonesia Ke Kalimantan Akan Manfaatkan Sabah

Pulau Borneo dijangka akan menjadi enjin pertumbuhan di dalam rantau ini memandangkan Indonesia sedang memulakan usaha untuk memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Kalimantan.

Menurut profesor ekonomi, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), perkara ini dijangka akan berlaku dalam masa beberapa tahun lagi, di mana Sabah dan Sarawak akan memperoleh manfaat daripada langkah yang diambil oleh Indonesia itu.

Memandangkan bandar-bandar utama di bahagian Asia Tenggara ini menjadi sesak dan tercemar, membuka sebuah bandar baru boleh menarik pelabur dan pelancong.

“Ya, limpahan ekonomi akan mengambil masa bertahun-tahun, bukan semalaman. Yang paling penting sekali, kita melihat Borneo sebagai pulau yang mempunyai banyak sumber daripada pelbagai aspek berbanding tempat-tempat lain di Asia.

“Tetapi untuk mempunyai kesan ekonomi, kedua-dua negara (Indonesia dan Malaysia) harus memanfaatkan  apa yang kita ada sekarang, dan mewujudkan hubungan,” katanya.

Mengulas tentang aspek keselamatan dan imigresen, Prof Kasim menyatakan bahawa kerjasama dalam kedua-dua perkara itu perlu diperketatkan lagi.

Namun, beliau mengakui bahawa mengawasi dan melindungi keselamatan di lautan terbuka lebih sukar berbanding darat.

Dari segi pelancongan, Prof Kasim berkata bahawa kerajaan Indonesia dijangka akan membuka infrastruktur baru seperti lapangan terbang atau mengembangkan lagi yang sedia ada.

“Borneo merupakan tanah penuh dengan peluang. Kawasan ini ‘hijau’ dan terdapat potensi besar untuk ‘food basket’ dunia, jika tidak di rantau ini.

“Ia sudah dikenali oleh seluruh dunia dan mempunyai banyak tawaran. Tetapi, strateginya perlu betul dari mula lagi…penggunaan dan penerapan strategi yang betul penting dalam era IR4.0 (Revolusi Industri Keempat) serta ekonomi digital,” jelasnya.

Bagi Jakarta pula, Prof Kasim mempercayai bahawa ia akan terus kekal seperti biasa untuk beberapa tahun dan dalam jangka masa panjang, ia boleh dijadikan sebagai sebuah bandar yang bagus untuk didiami, dan pusat peluang perniagaan.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button