AntarabangsaIsu Semasa

Jokowi Usul Bajet 2020 Indonesia Bernilai Lebih 2 Trilion Rupiah

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada Jumaat telah mengusulkan bajet negara bernilai 2,528.8 trilion Rupiah (RM740 bilion) bagi tahun 2020 yang memfokuskan sumber manusia dan pendidikan.

Bajet 2020 itu juga menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3%, sama seperti tahun ini.

Tetapi, pegawai-pegawai kerajaan kerap menyatakan bahawa KDNK bagi tahun 2019 tidak mencapai 5.3%, sebaliknya hanya mencatatkan di antara 5.1% dan 5.2%.

Difahamkan, bajet kali ini juga adalah 3% lebih besar berbanding belanjawan 2019, di mana ia juga akan membiayai program-program Jokowi bagi tahun pertama dalam penggal pemerintahan keduanya yang akan bermula secara rasmi pada Oktober ini.

“Dasar bajet negara 2020 direka untuk menjadi menjadi luas, tetapi akan kekal dengan sasaran dan teratur,” katanya.

Untuk membiayai bajet ini, Jokowi mencadangkan sasaran hasil pendapatan negara bernilai 2,221.5 trilion Rupiah.

Ini membawa defisit fiskal dalam cadangan bajetnya kepada 1.76% KDNK, di mana beliau berkata ia memberi ruang untuk menjangkakan ketidaktentuan global.

Tetapi, ketua ahli ekonomi Maybank Indonesia, Juniman menyatakan bahawa andaian pertumbuhan KDNK Jokowi, yang berlandaskan asas sasaran kutipan cukai kerajaan, tidak mampu dicapai.

“Saya pesimistik pertumbuhan (KDNK) 5.3% itu boleh dicapai. Memandangkan keadaan (ekonomi) global suram dan trend kelembapan pada tahun ini dan tahun depan, ia akan menjadi sukar bagi mana-mana pasaran membangun untuk berkembang lebih cepat berbanding tahun ini,” kata Juniman.

Beliau berpandangan bahawa pertumbuhan KDNK Indonesia bagi tahun 2019 dan 2020 adalah 5%.

Sementara itu, ahli ekonomi di Bank Danamon, Wisnu Wardana berkata, walaupun sasaran pertumbuhan GDP Jokowi “agak optimistik”, sasaran cukainya bersifat “realistik dan berhati-hati.”

Sementara Jokowi berikrar untuk terus membina infrastruktur pada tahun 2020, tema utama bajet tersebut adalah menambah baik sumber manusia, di mana beliau berjanji untuk menangani cabaran-cabaran demografi.

Katanya kepada Parlimen, meningkatkan kualiti pasaran buruh dalam penggal pemerintahan keduanya adalah kunci untuk memperoleh manfaat dividen demografi – satu masa yang menyaksikan bilangan individu yang tergolong dalam usia kerja melebihi jumlah golongan bukan dalam usia kerja.

Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk membelanjakan 505.8 trilion Rupiah (RM150 bilion) untuk pendidikan menjelang 2020, peningkatan sebanyak 30% berbanding 2015.

Menurut Jokowi, bajet tersebut akan menambah baik pendidikan asas dan akan digunakan bagi membiayai 818,000 pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Bajet itu juga akan digunakan untuk menyediakan latihan bagi pelbagai kemahiran termasuk pengekodan, analitik data, reka bentuk grafik, dan juga latihan untuk menjadi barista kopi.

Parlimen Indonesia pada kebiasaannya akan mengambil masa sehingga bulan Oktober untuk meluluskan cadangan bajet kerajaan.

Sumber: The Sun Daily – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button