AntarabangsaIsu Semasa

Tindakan Berkontroversi India Ke Atas Kashmir Mengundang Risiko Besar

Tindakan berkontroversi Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk mengetatkan lagi kawalannya ke atas wilayah majoriti-Muslim Kashmir berpotensi mencetuskan konflik dengan Pakistan dan menghidupkan semula pemberontakan yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa, menurut pakar.

Memansuhkan status khas Kashmir, menarik hak keistimewaan pemilikan tanah dan pekerjaan yang sudah terjamin dalam perlembagaan, dilihat sebagai usaha terbesar Modi setakat ini untuk memenuhi agenda nasionalis Hindunya selepas menang besar dalam pilihan raya umum pada bulan Mei.

Kerajaannya bertegas bahawa tindakan tersebut akan membawa kepada keamanan dan kesejahteraan, tetapi pengerahan tentera secara besar-besaran yang turut dilakukan oleh India merupakan petanda jelas bahawa terdapat risiko yang mendasari.

Difahamkan, India mengerahkan puluhan ribu tentera tambahan selain daripada menyekat komunikasi di Kashmir.

Pada masa yang sama, masih terdapat laporan yang mendedahkan bahawa berlakunya protes dan tembakan di jalanan.

AS Dulat, bekas ketua perkhidmatan perisikan India dan penasihat kerajaan dalam isu Kashmir berkata, amat penting untuk merahsiakan sebarang insiden keganasan sekiranya Modi mahu terus meningkatkan pengaruhnya.

“Tetapi, saya berfirasat bahawa akan berlaku kesan buruk dan peningkatan keganasan,” katanya.

KEMARAHAN DAN PENGASINGAN

DS Hooda, seorang leftenan jeneral yang sudah bersara yang sebelum ini pernah mengetuai pasukan tentera India di Kashmir, turut menzahirkan kebimbangan akan berlakunya “kemarahan, pengasingan, dan gangguan keamanan.”

Memetik laporan Channel News Asia, India sudah menempatkan 500,000 anggota tentera di Kashmir sebelum mengerahkan puluhan ribu lagi askar tambahan.

Kegiatan militan, yang menyaksikan penurunan selama beberapa tahun, telah meningkat semula selepas pembunuhan ketua pemberontak, Burhan Wani pada tahun 2016.

Penduduk Kashmir berkata, perintah berkurung yang dikenakan ke atas wilayah itu hanya akan meningkatkan lagi ketegangan.

“Orang ramai tidak akan menerima perkara ini dan hanya berdiam diri. Mustahil untukĀ  terus mengurung orang sepanjang hidup mereka,” kata Iltija Javed, anak perempuan kepada bekas Ketua Menteri Kashmir, Mehbooba Mufti yang ditahan oleh pihak berkuasa India.

Parti pemerintah pimpinan Modi, Bharatiya Janata Party mempercayai bahawa tindakannya ke atas Kashmir membetulkan kesilapan sejarah yang menyaksikan orang luar, terutamanya Hindu, dikecualikan daripada kuasa ekonomi apabila Kashmir diberi status khas selepas meraih kemerdekaan.

Namun ramai pihak tidak berpuas hati dengan cara status khas itu dimansuhkan, kerana ia dilakukan menerusi dekri presiden tanpa mengadakan sebarang perdebatan di Kashmir dahn hanya perbincangan secara ringkas di Parlimen India.

“Cara pelaksanaannya – walaupun amat efisien, telah sekali lagi membawa kepada penipuan, kesalahan maklumat dan politik perkauman,” ujar pakar anti-keganasan Asia Selatan, Ajai Sahni.

BAGAIMANA PAKISTAN AKAN BERTINDAK BALAS?

Satu lagi perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam konflik ini adalah Pakistan, di mana Perdana Menterinya, Imran Khan berikrar untuk mencabar tindakan “tidak sah” India di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pakistan dan India telah terlibat dalam dua peperangan berkaitan Kashmir, yang dibahagikan dan dituntut di antara kedua-dua negara nuklear itu.

Awal tahun ini, kedua-dua negara tersebut hampir terlibat dalam sebuah lagi peperangan selepas sebuah kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan mengaku melancarkan serangan di bahagian Kashmir yang ditadbir oleh India.

Selepas itu, India dan Pakistan terlibat dalam pertempuran udara, di mana jet pejuang milik Islamabad berjaya menembak jatuh dua pesawat New Delhi.

Pakistan yang kemudian menahan juruterbang pesawat tempur India telah membebaskannya sebagai ‘langkah kedamaian’.

Ankit Panda, seorang penganalisis geopolitik yang berpangkalan di New York, menegaskan bahawa Kashmir merupakan kepentingan “teras” bagi tentera Pakistan yang mendominasi dasar asing dan keselamatan negara itu.

“Jadi kita mungkin akan melihat Pakistan meningkatkan usahanya untuk meningkatkan lagi ketegangan….atau Pakistan meningkatkan penggunaan kumpulan bukan kerajaan untuk menyerang kakitangan paramiliter India di Kashmir.

“Jika tentera Pakistan memutuskan untuk bertindak balas dengan cara itu….keadaan akan menjadi amat berbahaya,” kata Panda.

Sementara itu, Sadanand Dhume, seorang penganalisis dari American Enterprise Institute di Washington menyatakan bahawa ia masih terlalu awal untuk menentukan sama ada langkah Modi ini adalah satu “keputusan yang bijak atau kesilapan bersejarah yang cuai.”

“Tetapi dua perkara ini jelas: India telah mengabaikan sentimen Kashmir, dan mengambil keputusan berisiko dengan implikasi yang tidak diduga,” jelas Dhume.

Sumber: Channel News Asia – AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button