Isu SemasaTempatan

Tahap Literasi Kewangan Rakyat Malaysia Masih Belum Capai Standard Memuaskan

50% rakyat Malaysia mengakui bahawa ia adalah sukar bagi mereka untuk menyediakan wang tunai sebanyak RM1,000 bagi waktu-waktu kecemasan.

Malah, 1 daripada 5 orang dewasa yang bekerja menyatakan bahawa mereka tidak menabung sejak enam bulan lalu, manakala 3 daripada 10 individu pula meminjam wang untuk membeli barang-barang keperluan.

Ramai rakyat Malaysia terbeban dengan hutang yang tinggi, di mana terdapat beribu-ribu individu yang sudah diisytihar muflis.

Berdasarkan kaji selidik Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) pada tahun lepas, hanya 24% individu sahaja yang boleh meneruskan hidup selama tiga bulan dengan duit simpanan sendiri, dan hanya 10% yang mampu kekal menganggur dalam tempoh 6 bulan.

Lebih membimbangkan lagi, polis baru-baru ini juga mengumumkan bahawa Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM2 bilion setiap tahun disebabkan penipuan telekomunikasi dan e-dagang.

Insiden-insiden seperti ini yang semakin meluas dan betapa mudahnya mangsa boleh terpedaya dengan penipuan sedemikian ternyata mencetuskan kebimbangan.

Walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran berkali-kali, masih terdapat ramai mangsa yang kehilangan wang simpanan mereka akibat terpedaya dengan ‘mulut manis’ penipu yang kononnya menjanjikan pulangan wang lumayan dan kekayaan serta merta.

Dalam usaha menangani masalah-masalah ini, kerajaan telah melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, iaitu sebuah rangka kerja yang bertujuan untuk meningkatkan literasi kewangan dalam semua segmen masyarakat.

Kajian yang dilakukan oleh OECD International Network on Financial Education, AKPK, dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia di antara tahun 2015 dan 2018 mendapati bahawa tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum mencapai standard yang memuaskan.

Kaji Selidik Tingkah Laku Kewangan 2018 AKPK, yang memfokuskan tingkah laku golongan dewasa bekerja dari segi perbelanjaan, simpanan, dan pengurusan hutang – turut mendedahkan bahawa terapat bidang-bidang yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia.

“Adalah amat penting bagi kita untuk mempromosikan pengurusan kewangan yang baik dalam kalangan orang awam.

“Ia merupakan mandat kami untuk menjadikan pengurusan kewangan berhemat sebagai gaya hidup,” kata Pengurus Besar AKPK bagi bahagian operasi, Nor Fazleen Zakaria kepada The Malaysian Reserve (TMR).

Menurut Nor Fazleen, rakyat Malaysia secara umumnya tahu mereka perlu menetapkan bajet, menguruskan kewangan dan berdisiplin dari segi gaya hidup.

Tetapi, apa yang membimbangkan adalah segelintir individu tidak merancang kewangan mereka dengan baik dan berbelanja terlalu kerap.

“Saya tahu pada usia dan masa ini, terdapat pelbagai gangguan dan keinginan untuk mengikut gaya hidup (mewah), tetapi akhir sekali, anda perlu memutuskan sama ada pembelian itu akan memberi kesan terhadap kewangan anda atau tidak.

“Apa yang membimbangkan adalah kadang kala, orang tidak merancang langsung. Ini salah. Tingkah laku seperti ini adalah apa yang kami (AKPK) ingin betulkan dan pupuk sejak muda,” jelasnya.

Sementara itu, Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan lepas, menggariskan lima strategi utama untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan yang baik serta memupuk tingkah laku sihat dalam pengurusan kewangan.

Strategi-strategi tersebut adalah:

1. Menyemai nilai murni sejak usia muda

2. Meningkatkan akses orang ramai kepada maklumat, alat kewangan serta sumber berkaitan pengurusan kewangan

3. Memupuk tabiat kewangan yang positif dalam kalangan kumpulan sasaran
Meningkatkan akses orang ramai kepada maklumat, alat kewangan

4. Memperkasa amalan perancangan kewangan jangka panjang dan persaraan

5. Mengumpul dan melindungi harta

Ujar Dr Mahathir, inisiatif tersebut menyokong aspirasi kerajaan untuk kesejahteraan bersama dengan memastikan bahawa rakyat Malaysia diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran yang betul bagi membuat keputusan kewangan yang bertanggungjawab dalam setiap peringkat kehidupan mereka.

“Adalah penting untuk pendidikan kewangan boleh diakses oleh rakyat Malaysia dari semua peringkat umur dan kehidupan, dan ini hanya boleh dicapai dengan adanya kerjasama,” katanya.

Sumber: The Malaysian Reserve (TMR)

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button